KUALA TERENGGANU: Isu ketegangan kaum tidak sepatutnya timbul kerana hubungan baik yang terjalin antara kerajaan Islam dan China sejak daripada zaman Rasulullah SAW di samping Khalifah Al-Rasyidin lagi.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sepanjang menjalin hubungan diplomatik itu, tiada sebarang pertembungan berlaku antara kerajaan Islam dan China.
Katanya, Islam sampai ke China seawal kedatangan agama dan ia dibuktikan dengan kewujudan masjid-masjid yang dibina di negara berkenaan.
“Umat Islam juga mengambil manfaat daripada tamadun China dalam pelbagai bidang ilmu seperti segmen pembuatan kertas, ilmu perubatan dan lain-lain.
“Justeru, berasaskan dasar itu, hubungan masyarakat majmuk di peringkat dunia ini sepatutnya tidak menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya dalam hantaran sempena Tahun Baharu Cina di laman Facebook, hari ini.
Abdul Hadi berkata, Islam tidak menghalang penganut agama lain untuk beramal dengan agama masing-masing, termasuk adat resam seperti Tahun Baharu Cina yang bertujuan mengeratkan hubungan erat ahli keluarga dan sanak saudara.
Beliau berharap hubungan erat antara semua kaum yang berkonsepkan masyarakat madani akan terus terpelihara di negara ini.
“Mewakili Pas, saya mengucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada seluruh masyarakat Cina, khususnya kaum Tionghoa yang hidup bersama kita di Malaysia,” katanya.