PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui kes Covid-19 akan meningkat dengan mendadak dalam beberapa minggu akan datang.
Beliau mengambil contoh bagaimana Singapura mencatatkan 4,297 kes baharu pada 3 Februari lalu tetapi jumlah itu naik sehingga ke 13,208 kes semalam.
“Kes kita juga akan meningkat dengan mendadak dalam beberapa minggu akan datang.
“Gelombang Omicron ini sangat mudah dijangkiti. Setakat ini, gejalanya jauh lebih rendah daripada Delta. Kekal berwaspada. Dapatkan dos penggalak,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya hari ini.
Semalam, jumlah terbaru kes Covid-19 melonjak dengan ketara apabila mencatatkan 7,234 kes, meningkat dengan mendadak berbanding 5,720 kes pada 3 Februari.
Ini pertama kali jumlah kes Covid-19 melepasi 7,000 kes selepas kali terakhir jumlah itu dicatatkan pada Oktober tahun lalu.
Malah, jumlah kes Covid-19 menunjukkan peningkatan semula sejak Januari lalu yang hanya berada pada paras 2,000 hingga 3,000 kes.
Ini meskipun jumlah individu dewasa yang menerima dos penggalak Covid-19 kini mencecah 12.1 juta orang atau 51.9 peratus setakat ini. – UTUSAN ONLINE