SABAK BERNAM: Pembakaran sampah dipercayai menjadi punca sebuah kereta Perodua Myvi milik penduduk musnah terbakar di Parit 3 Timur Sungai Panjang, Sungai Besar di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu berlaku selepas api sampah berkenaan merebak dan terkena kereta yang diletakkan di kawasan rumah keluarga mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, ketika kejadian pemilik kereta berusia 38 tahun itu sedang berada di dalam rumah keluarganya di lokasi berkenaan.
“Pemilik kereta itu cuba memadamkan kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api namun gagal dan segera menghubungi bomba.
“Kebakaran itu dipercayai berpunca akibat pembakaran sampah dan merebak ke kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.46 pagi.
“Operasi itu disertai sepasukan empat pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besar.
“Kebakaran memusnahkan kira-kira 90 peratus kereta berkenaan dan berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.
Tambah Hafisham, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tidak dipastikan individu yang terlibat membakar sampah di lokasi tersebut. -UTUSAN ONLINE