Kerajaan sedia kaji semula syarat pendapatan untuk mohon projek Rumah Mesra Rakyat - Utusan Malaysia

Kerajaan sedia kaji semula syarat pendapatan untuk mohon projek Rumah Mesra Rakyat

ISMAIL Abd. Muttalib (depan, kiri) menyampaikan replika kunci Rumah Mesra Rakyat kepada Nazatul Syuhada Puat Lottfi (kanan) di Kampung Batu Leja di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia untuk membuat kajian semula syarat pendapatan bagi pemohon Rumah Mesra Rakyat menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memandangkan keperluan rakyat untuk memperoleh kediaman selesa, baharu di samping mengatasi kesulitan tertentu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib menjelaskan, kerajaan akan mengkaji semula menaikkan kadar pendapatan yang terkandung dalam syarat permohonan berasaskan ramai penduduk ingin memiliki rumah mesra rakyat di tanah milik sendiri untuk kehidupan yang lebih selesa pada masa akan datang.

“Sehingga kini syarat permohonan masih di bawah pendapatan bulanan RM3,000 dan mempunyai tanah milik sendiri dan bebas daripada sebarang sekatan ataupun gadaian serta berusia antara 18 tahun hingga 65 tahun.

“Kerajaan akan meneliti semula kadar syarat pendapatan ini dari semasa ke semasa berasaskan permintaan penduduk yang sangat memerlukan tetapi mempunyai pendapatan melebihi syarat ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan replika kunci kediaman baharu projek Rumah Mesra Rakyat kepada empat penerima dari Kampung Batu Leja, Kampung Pulau Tawar dan Kampung Tebing Tinggi di sini.

Yang hadir sama, Pengarah SPNB Pahang, Datuk Ahmad Islanizam A. Halim dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.

Ismail berkata, Rumah Mesra Rakyat antara yang paling banyak dipohon oleh penduduk kerana kediaman itu berkualiti dan moden berasaskan pelan projek yang disediakan SPNB bagi keselesaan kehidupan berkeluarga hari ini.

Katanya, sehingga kini SPNB telah menerima 89,880 permohonan seluruh negara untuk projek Rumah Mesra Rakyat, manakala rumah yang telah siap dibina sebanyak 50,066 unit sejak 2002.

“Di Pahang 10,418 jumlah permohonan diterima dan sebanyak 4,229 sudahpun siap dibina melibatkan Jerantut sahaja SPNB menerima permohonan sebanyak 1,499 dan sudah disiapkan 668 buah rumah,” katanya.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran menambah, sebuah rumah bernilai RM75,000, manakala subsidi kerajaan
sebanyak RM20,000 dan pemohon cuma meminjam sebanyak RM55,000 dengan bayar bulanan RM300 tanpa faedah.

“Saya berharap Penghulu Mukim dan ketua kampung dapat membantu memberikan maklumat serta menggalakkan penduduk yang cukup syarat membuat permohonan Rumah Mesra Rakyat untuk mencapai hasrat SPNB sekurang-kurangnya ada lima buah projek rumah tersebut di setiap buah kampung luar bandar,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima Rumah Mesra Rakyat Kampung Batu Leja, Nazatul Syuhada Puat Lottfi, 26, berkata, dia bersyukur kerana permohonan untuk mendapatkan rumah baharu direalisasikan oleh SPNB dan mula menduduki kediaman itu hari ini untuk mencongak kehidupan bahagia pada masa akan datang.

“Suami saya, Muhammad Iqhwan Idham sebagai pemandu lori sawit, tetapi mampu menyediakan ansuran bayaran bulanan kerana saya seorang suri rumahtangga lagipun tanah ini milik (saya) untuk membina rumah ini,” ujarnya.

Jelas ibu kepada cahaya mata lelaki berusia tiga tahun itu, dia dan suaminya gembira kerana mempunyai sebuah rumah selesa dan moden sesuai dibina di sebuah kampung tempat kelahirannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya