Kawalan keselamatan semasa fenomena air laut surut

Kawalan keselamatan semasa fenomena air laut surut

FENOMENA air laut surut di Pantai Teluk Nipah ke Pulau Giam sejauh kira-kira 400 meter di Pulau Pangkor, Lumut, Perak, semalam. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kawalan keselamatan ketat dilakukan di sekitar perairan antara Pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor dan Pulau Giam ketika kejadian air surut berlaku yang membolehkan orang ramai berjalan kaki antara dua lokasi tersebut semalam.

Ia bertujuan mengelakkan kejadian tidak diingini seperti lemas apabila orang ramai terleka ketika berjalan mengharungi air laut sehingga tidak sedar air telah pasang semula.

Seramai lapan anggota Bomba dan Penyelamat termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), 10 anggota Persatuan Rekreasi Pangkor yang terdiri daripada ‘beach boy’, anggota Rela dan polis bertugas memantau situasi di kawasan tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulau Pangkor, Shah Al Haffiz Mohd. Redzuan berkata, pasukan itu sudah melakukan pemantauan sejak Isnin dengan melakukan pengawasan di darat dan di laut bersama agensi berkaitan.

“Kami bekerja bersama-sama turut menasihatkan pengunjung agar sentiasa mengambil sikap berwaspada termasuk menasihatkan mereka memakai jaket keselamatan serta ambil tahu jadual pasang surut air laut.

“Kita tidak boleh menghalang orang ramai berjalan kaki ke Pulau Giam ketika air surut tetapi menasihatkan mereka untuk balik semula sebelum air pasang,” katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan pemantauan itu di Pantai Teluk Nipah, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Operasi dan Bencana, APM Pulau Pangkor, Mohd. Arshad Yusop dan Bendahari Persatuan Rekreasi Pangkor, Yusri Yahya.

Kejadian air surut yang membolehkan orang ramai berjalan kaki dari Teluk Nipah ke Pulau Giam berlaku sekali atau dua kali dalam setahun khususnya awal tahun dan sering kebetulan terjadi ketika cuti Tahun Baharu Cina menyebabkan ia sering menjadi tumpuan pelancong.

Bagaimanapun, kejadian air surut itu hanya berlaku dalam tempoh singkat iaitu kira-kira dua jam pada waktu pagi menyebabkan ada yang lemas ketika berjalan semasa air pasang semula atau terperangkap di Pulau Giam yang berkeluasan 2.1 hektar itu.

Pada 2020, seorang remaja berusia 17 tahun lemas apabila terperangkap di tengah laut selepas air mulai pasang ketika berjalan pulang dari Pulau Giam manakala pada 2018, seorang lelaki lemas ketika berenang ke pulau tersebut.

Dalam pemantauan semalam, hampir 500 orang merasai pengalaman berjalan kaki itu bermula pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi dengan paras air terendah ialah 0.3 meter atau paras buku lali lelaki dewasa pada pukul 10.40 pagi.

Kira-kira pukul 11.15 pagi, anggota bomba yang berada dalam bot membuat pengumuman menggunakan pembesar suara menasihatkan orang ramai kembali ke Pantai Teluk Nipah kerana air akan pasang semula mulai pukul 11.40 pagi.

Terdapat empat pelancong yang terkandas di Pulau Giam apabila mereka tidak kembali semula dalam tempoh ditetapkan dan dibawa semula ke Pantai Teluk Nipah menaiki bot.

Kira-kira pukul 12 tengah hari pula, pasangan kulit putih dipercayai dari luar negara cuba berjalan kaki menyeberang Pulau Giam tetapi selepas diberi nasihat berulang kali, mereka akhirnya akur dan berpatah balik ke pantai.

Menurut Shah Al Haffiz, pihaknya sudah memuat naik nasihat keselamatan kepada pengunjung termasuk meminta mereka memakai jaket keselamatan dalam Facebook rasmi BBP Pulau Pangkor.

“Bilangan pengunjung boleh dikatakan agak ramai, mungkin kejadian ini sudah tular dalam media sosial, jadi ramai yang datang ke sini dan kemungkinan bilangan jaket keselamatan agak terhad, didapati kira-kira 70 peratus tidak memakainya.

“Bagaimanapun, keadaan agak terkawal kerana kami sudah membuat persiapan awal dengan kerjasama baik semua agensi terlibat,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya