PETALING JAYA: Pengendali Selangor Pistons, Ridhuwan Abdul Manaf mengingatkan para pemainnya agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan kawal pergerakan dengan tidak ke tempat yang mempunyai tumpuan ramai bagi mengelak skuad itu dilanda masalah tidak diundang iaitu dijangkiti Covid-19.
Bercakap ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam, Ridhuwan menyuarakan kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19 yang kembali meningkat khususnya di Selangor.
“Selangor paling tinggi kes, saya harap para pemain lebih berhati-hati, jangan makan di kedai atau berkumpul ramai- ramai. Mereka kena sentiasa peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.
Aksi timbal balik Kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 bermula, hari ini, dengan minggu pertama pusingan kedua itu akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebelum beralih ke Kelantan, Pulau Pinang dan Perak.
Bagaimanapun, kes jangkitan Covid-19 yang kembali meningkat melebihi angka 10,000 orang di seluruh negara membangkitkan kebimbangan para pemain terdedah dengan virus tersebut dan sekali gus, mengganggu prestasi pasukan bertanding dalam STL.
Menurut Ridhuwan, pengurusan sudah sedia maklum sejak awal lagi mengenai masalah tersebut dan sentiasa mengingatkan para pemain supaya lebih berhati-hati.
“Saya memang risau, takut juga. Covid-19 makin naik, jadi, masing-masing kena jaga diri, elakkan berkumpul dengan orang luar. Hasil ujian swab Covid-19, semalam (kelmarin), alhamdulillah semua negatif,” ujarnya.
Mengulas pula mengenai persediaan skuad bimbingannya, jurulatih itu memberitahu, sesi latihan berjalan seperti biasa selepas seminggu berehat dan para pemainnya tidak dilanda sebarang kecederaan.
“Persediaan macam biasa, kami rehat seminggu, selepas itu pasukan memang ada buat latihan, cuma kami tekankan kepada pemain agar lebih bersedia kerana pasukan lawan mahu manfaat peluang untuk kalahkan Selangor, jadi mental dan fizikal kena sedia.
“Latihan kami lebihkan kepada pertahanan dan serangan. Insya-Allah, Selangor akan lebih mantap untuk pusingan kedua ini,” tegasnya.
Selangor Pistons yang kini menghuni kedudukan keenam setelah mengumpul lapan mata bakal turun ke gelanggang, hari ini, menentang Perak Bison pada pukul 10 malam dan Sabtu pula mereka berdepan ujian lebih getir bertemu pendahulu STL, ATM Guardians pukul 5 petang.