JERANTUT: Kawasan pesisir di Kampung Bantal di mukim Ulu Tembeling, daerah ini mulai dinaiki air banjir berikutan hujan lebat sejak tiga hari lalu.
Kejadian banjir berlaku sejak semalam menyaksikan paras air yang melimpah masuk ke kawasan dataran kampung itu sedalam hampir dua meter menenggelamkan bumbung tempat menunggu bot di jeti serta memasuki ruang kedai kopi dan kedai runcit.
Bagaimanapun kebanyakan kediaman yang terletak di kawasan dataran pesisir Sungai Tembeling kampung itu yang dipasang tong plastik kelihatan terapung, selamat dan ditambat pada pokok besar.
Menurut penduduk Bantal, sehingga pukul 6.30 petang hari ini, air sudah melimpah kawasan dataran di situ sedalam hampir dua meter dan bagaimanapun masih tidak melibatkan pemindahan penduduk.
Penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rashid, 44, berkata, air Sungai Tembeling yang melimpah sejak sedalam setengah meter semalam meningkat hampir dua meter kerana hujan turun lebat di kawasan hulu sungai beberapa hari lalu hingga ke tengah hari ini.
“Kenaikan paras air mendadak awal pagi hari ini diikuti bunyi siren amaran pada pukul 5 pagi tadi menandakan banjir mula melanda di sini.
“Penduduk sudah pun bersiap sedia berdepan banjir kali kedua tahun ini, antaranya pemilik kedai kopi dan kedai runcit sudah memindahkan barang ke tempat selamat, manakala sebilangan rumah di pesisir sungai dipasang tong plastik supaya timbul serta ditambat pada pokok,” katanya ketika dihubungi di Kampung Bantal dekat sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zaimi Abdullah, 50, berkata, fenomena banjir kali kedua tahun ini agak mengejutkan mereka kerana sebelum ini ketika penghujung bulan Februari dan tiba bulan Mac kebiasaannya bermulanya musim kemarau.
“Rasa pelik juga dengan suasana ini, tetapi kami tidak menolak banjir berulang semula memandangkan cuaca tidak menentu lebih lagi baharu sahaja berlaku angin monsun luruan dan hujan kerap turun sehingga ini,” ujarnya.
Jelasnya, kejadian itu menyebabkan arus Sungai Tembeling deras dan menghanyutkan kayu balak reput dan reba pokok yang tumbang yang membahayakan penduduk tinggal di pesisir sungai itu. – UTUSAN