KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan penghargaan kepada beberapa kakitangan atas khidmat bakti mereka kepada Parlimen dan negara.
Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Nor Yahati Awang dikurniakan Darjah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W.) sempena Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tahun 2022 yang berlangsung di Istana Negara baru-baru ini.
Setiausaha Dewan Negara, Muhd. Sujairi Abdullah dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Parlimen Malaysia, Riduan Rahmat turut menerima Darjah Kebesaran Johan Mahkota Wilayah (J.M.W.).
Begitu juga dengan Ketua Penolong Setiausaha (Seksyen Pengurusan Sumber Manusia dan Inovasi), Sharifah Rahamah Syed Muhammad turut menerima Darjah Kebesaran Kesatria Mahkota Wilayah (K.M.W.).
Menurut Bahagian Komunikasi Parlimen Malaysia, pengurniaan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan atas jasa dan khidmat bakti beberapa kakitangan kepada Parlimen dan negara amnya.
“Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta seluruh warga Parlimen Malaysia merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah atas penganugerahan ini,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN