KOTA KINABALU: Wirawati Parti Warisan (Warisan) mempertikai cadangan kerajaan untuk mengeluarkan kad warga asing di Sabah.
Timbalan Ketua Wirawati, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, sebelum ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membantah habis-habisan cadangan memberikan pas sementara Sabah (PSS) kepada warga asing namun sekarang mereka membisu apabila Kerajaan Persekutuan bercadang mengeluarkan dokumen sama.
Namun, timbul persoalan sama ada kad itu membolehkan warga asing memperoleh kewarganegaraan melalui proses naturalisasi atau sebaliknya.
“Apakah pendirian GRS tentang pemberian kad warga asing sebagai dokumen pengenalan diri bagi warga asing yang tinggal lama di Sabah?
“Semasa Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) lalu, GRS selaku pembangkang pada masa itu memberi jaminan kepada rakyat Sabah bahawa kumpit atau pendatang asing tanpa izin (PATI) akan segera dihantar pulang ke negara asal jika mereka diberi mandat menjadi kerajaan.
“Tapi sehingga sekarang isu PATI masih berleluasa. Masih ramai PATI yang berada di sekeliling kita sama ada di bandar mahupun di kampung. Sudah lebih setahun sejak PRN Sabah, rakyat masih menunggu dan tertanya-tanya mengapa isu PATI ini masih belum ditangani seperti dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jo-Anna juga meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan pendirian kerajaan negeri mengenai cadangan pengeluaran kad warga asing itu.
“Situasi yang berlaku sekarang ibaratnya lain yang dipesan, lain yang sampai”, katanya.
Semasa pemerintahan Warisan, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan Sabah pada masa itu mencadangkan pemberian PSS kepada warga asing yang memegang kad IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.
Namun, cadangan berkenaan mendapat tentangan hebat pembangkang dan akhirnya pemberian PSS dibatalkan.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengumumkan cadangan memberi kad warga asing kepada warga asing tiada dokumen pengenalan diri yang sudah lama menetap di Sabah.
Beliau turut menegaskan kad berkenaan bukanlah pemberian kerakyatan atau status penduduk tetap, sebaliknya untuk mengetahui keberadaan golongan terbabit di Sabah. – UTUSAN