Badminton: Jurang kualiti pemain baharu, lama Korea jauh - Tat Meng

Badminton: Jurang kualiti pemain baharu, lama Korea jauh – Tat Meng

badminton
JURULATIH perseorangan Korea Selatan, Wong Tat Meng
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jurulatih kelahiran Malaysia, Wong Tat Meng yang kini membimbing pemain perseorangan Korea Selatan mendedahkan barisan pemain dibawanya menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di sini, memiliki jurang cukup jauh dengan pemain utama mereka.

Tat Meng ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Setia City berkata, sekiranya perbandingan dibuat antara An Seyoung (pemain No. 4 dunia) dan Kim Gaeun (No. 20 dunia) dengan pemain yang diturunkan dalam BATC daripada segi persembahan memang ada jurang yang ketara.

“Kalau dibandingkan dengan Seyoung dan Gaeun, persembahan mereka jauh. Cuma di Korea, kita tidak ada skuad pelapis atau pasukan junior dan senior kerana bagi kita semua pemain kebangsaan.

“Saya harap selepas ini Persatuan Badminton Korea boleh nampak persembahan mereka (pemain yang beraksi di BATC) dan hantar bermain ke pertandingan kecil-kecil, untuk ambil pengalaman dan kutip mata ranking dunia,” katanya.

Skuad kedua yang dibawa Korea Selatan, sudah memadai untuk mereka mara ke aksi akhir bertemu Indonesia setelah menewaskan Malaysia 3-0 pada separuh akhir, kelmarin.

Mendengarkan komen Tat Meng itu, ia cukup jelas memberi gambaran kualiti pemain perseorangan wanita yang dimiliki Malaysia.

Skuad negara akan beraksi pada Piala Uber di Bangkok, Thailand, Mei ini yang akan menemukan realiti sebenar cabaran bakal diharungi nanti.

Ketika diminta mengulas mengenai persembahan perseorangan wanita Malaysia, bekas pengendali kebangsaan itu mengakui mereka kini berada di bawah tekanan ekoran kritikan yang dilemparkan.

“Sekarang saya tahu perseorangan wanita berada di bawah tekanan, semua cakap (mereka) tak bagus. Tapi saya harap perseorangan wanita jangan terlalu risau.

“Pemain yang saya rasa muda-muda ini, kita nak cakap tentang bakat mereka boleh ke mana kita pun tak tahu.

“Tetapi yang penting mereka boleh memaksimumkan potensi masing-masing kerana itu lebih penting. Jangan putus asa, letak sasaran dan berlatih keras, selepas itu berusaha ke arah sasaran tersebut,” ujarnya.

Bercakap pula tentang kerjayanya di Korea Selatan, Tat Meng mengakui seronok bergelar jurulatih di negara itu, selain tugasnya cukup jelas di sana kerana mereka sudah meletakkan sasaran yang perlu dicapai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya