KOTA BHARU : Johor Tigris yang kalah diset kedua bangkit untuk mencipa kemenangan 2-1 keatas Perak Bison dalam aksi Premier pada kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) di Kompleks Sukan Panji di sini, sebentar tadi.
Kemenangan Johor dipacu oleh aksi memukau yang diperagakan oleh Haziq Norali menerusi rejaman-rejaman kencang dan hadangan mantap untuk meraih kemenangan berharga buat pasukannya.
Kedua-dua pasukan yang turun dengan misi meraih kemenangan memeragakan aksi konsisten apabila saling berbalas-balas mata sehingga terikat pada kedudukan 22-22.
Mata terus terikat rapat menjadi 23-23 selepas itu, bagaimanapun Haziq Norali yang menerima apungan menarik dari Muklis Borhan berjaya melepaskan rejaman padu untuk menjarakkan mata kepada 24-23 berpihak kepada Johor.
Tekong import yang kali pertama diturun iaitu Siwatbanchan Seekhwa menoktahkan kemenangan buat Johor menerusi kiraan mata 25-23 dalam aksi cukup dramatik.
Set kedua, Johor kehilangan rentak apabila mudah ditanduk Perak Bison menerusi kemenangan 21-16 untuk mengheret ke aksi penentuan.
Kemenangan Perak di pacu oleh servis-servis ace yang dilakukan oleh tekong pasukan itu Meor Zulfikar Mat Amin selain rejaman deras menerusi Amirul Ramadhan Fazillah.
Aksi diset penentuan rancak diperagakan oleh kedua-dua pasukan apabila mata yang dipungut oleh setiap pasukan dilihat agak rapat pada satu ketika.
Bagaimanapun, Johor nyata unggul pada set ketiga, selain servis kencang Siwatbanchan dilakukannya menghadiahkan kemenangan 21-13 buat pasukannya.
Kemenangan itu menyaksikanJohor naik satu anak tangga dalam usaha ‘membebaskan’ diri dari zon penyingkiran.