JOHOR BAHRU: Sekolah tahfiz di negeri ini disaran menambah modul pembelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melengkapkan pelajar dengan ilmu serta kemahiran tambahan.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, selain meningkatkan kemampuan kendiri, pengetahuan itu juga mampu dijadikan sebagai kemahiran untuk mendapatkan pendapatan, selain daripada pendidikan agama diterima mereka.
Menurutnya, kemahiran tambahan penting bagi meningkatkan lagi kebolehupayaan graduan lepasan sekolah agama dan tahfiz di negeri ini.
“Secara peribadi saya mengharapkan agar semua institusi pendidikan Islam dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja alim dalam bidang agama, malah juga mahir dalam bidang lain untuk memberi sumbangan fardu kifayah kepada masyarakat.
“Program TVET merupakan satu usaha kerajaan negeri untuk membantu pelajar sekolah agama, tahfiz dan pondok di negeri ini,” katanya ketika berucap melancarkan Majlis Pelancaran Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA) di Hotel New York, di sini.
Tambah Hasni, kerajaan Johor komited dalam merencana pelan pendidikan bersepadu untuk anak-anak negeri ini sama ada yang mengikuti bidang akademik mahupun keagamaan.
“Pelbagai langkah telah dibuat untuk memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna, terkini dan sentiasa bersesuai dengan agama Islam itu sendiri yang bersifat anjal dan sejagat.
“Saya berasa bangga kerana antara usaha-usaha ini adalah memastikan semua sekolah tahfiz mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) supaya perjalanan sekolah dapat diurus dengan baik, seterusnya membolehkan pelbagai bantuan disalurkan bagi kepentingan semua pihak,” ujarnya.
Menurut Hasni, proses itu dapat dipermudah dengan adanya garis panduan yang dibuku dan diterbitkan JAIJ menerusi JTQA ini.
Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Hasni turut menyampaikan bantuan pengurusan sebanyak RM1 juta untuk sektor pendidikan tahfiz di negeri ini. – UTUSAN