Jeffrey Webb tak rela kecewa lagi - Utusan Malaysia

Jeffrey Webb tak rela kecewa lagi

Jeffrey Webb memburu keputusan lebih baik apabila turun sekali lagi dalam acara slalom lelaki pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing hari ini.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas gagal melengkapkan perlumbaan pertama dalam penampilan sulung di Pyeongchang 2018, Jeffrey Webb memburu keputusan lebih baik apabila turun sekali lagi dalam acara slalom lelaki pada Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing hari ini.

Empat tahun lalu, peluncur berusia 23 tahun itu gagal menamatkan perlumbaan pusingan pertama selepas terlibat dengan pelanggaran.

Jeffrey yang menjalani latihan sepenuhnya di Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun mengakui, sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku hari ini kerana keadaan cuaca dan lapangan pertandingan sentiasa berubah-berubah.

“Cuaca sentiasa berubah, setiap bukit untuk meluncur alpine juga berbeza-beza, jadi kita tidak akan pernah mendapat satu keadaan yang sama dalam setiap perlumbaan.

“Bagi saya, semua keadaan yang tidak menentu ini menyebabkan kesukaran ketika perlumbaan, namun itulah cabaran yang membuatkan saya perlu sentiasa bersiap sedia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kemunculan pertama

Jeffrey sudah terlibat dalam sukan ski alpine sejak berumur lima tahun, iaitu ketika dia mengikuti keluarganya berpindah dari Malaysia ke AS.

Sebelum membuat kemunculan pertama di Pyeongchang, Jeffrey pernah mewakili Malaysia dalam Sukan Musim Sejuk Asia 2017 di Sapporo, Jepun.

Bagi atlet berusia 23 tahun itu, kesukaran bagi sukan ini terletak pada cuaca, keadaan angin dan keadaan padang luncur alpine yang berbeza-beza dalam setiap kejohanan.

Kata Jeffrey,dia pernah mengalami beberapa siri kecederaan sepanjang bermain sukan ini, antara yang paling kerap adalah sakit belakang.

“Disebabkan meluncur merupakan sukan fizikal, jadi kebanyakan kecederaan yang saya alami adalah sakit belakang, malah saya pernah ambil masa sehingga beberapa musim untuk menyembuhkan sakit belakang sahaja.

“Sehingga kini pun saya masih ada beberapa masalah kecederaan yang lain, tapi dapat saya atasi dengan baik bagi menghadapi Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai penyebab dan motivasinya dalam menjadikan sukan ini sebagai kerjaya pilihan, Jeffrey berkata peluang untuk bertanding dengan atlet berkelas dunia banyak membentuk dirinya sebagai Olimpian.

“Apabila atlet terbaik dalam dunia datang bertanding, saya seronok melihat cara mereka bekerja untuk menjadi lebih baik daripada orang lain dan itu sentiasa menjadi faktor penolak bagi saya untuk terus mencapai tahap sama seperti mereka,” katanya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya