LEEDS, United Kingdom: Biarpun berdepan pelbagai kritikan dan didakwa wujud masalah dalam bilik persalinan. Namun kemenangan 4-2 Manchester United ke atas Leeds, kelmarin disifatkan jawapan terbaik kepada semua persoalan yang timbul.
Perkara itu ditegaskan oleh pengendali Manchester United, Ralf Rangnick selepas menyaksikan anak buahnya kembali menunjukkan prestasi sebenar di Elland Road.
“Hari ini (kelmarin) ia lebih penting. Bukan sahaja menang tetapi cara kami bertindak balas selepas melepaskan dua gol dan ia jawapan terbaik daripada pasukan.
“Ia menunjukkan kematangan dan perpaduan. Kemenangan ini jawapan terbaik kepada laporan minggu lalu yang menyatakan terdapat salah faham dalam bilik persalinan kami.
“Kemenangan ini hanya boleh dicapai hasil kerjasama dan mentaliti berpasukan. Selain tiga mata, ia aspek paling penting bagi saya,” kata Rangnick.
Laporan, minggu lalu mengatakan Cristiano Ronaldo dijangka akan menggantikan Harry Maguire sebagai kapten United untuk baki musim ini disifatkan ‘mengarut’ oleh Rangnick.
Maguire membuka gol pertama sebelum Bruno Fernandes meletakkan United selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, kelebihan dua gol awal United dipadam oleh Rodrigo dan Raphinha namun Red Devils mempamerkan kebangkitan hasil ledakan Fred serta Anthony Elanga bagi memastikan kemenangan berturut-turut buat pasukan Rangnick sekali gus melonjak ke kelompok empat teratas.
Dalam perkembangan sama, Leeds bakal dikenakan tindakan oleh Persatuan Bolasepak England (FA) selepas pemain pelawat, Elanga mengalami kecederaan di kepala selepas dibaling objek oleh penyokong tuan rumah. – AGENSI