Jalan umpama zaman sebelum merdeka

Jalan umpama zaman sebelum merdeka

IDRIS Jusoh menunjukkan jalan di Kampung Perol Lubok Tegayong, Pasir Mas yang ditabur batu oleh penduduk kerana masih tidak diturap selepas 30 tahun mereka menunggu. - FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Kampung Perol Lubok Tegayong, di sini hanya 18 kilometer dari pusat bandar, namun kira-kira 20 keluarga di situ umpama hidup di zaman sebelum merdeka kerana masih tidak menikmati jalan berturap.

Penduduk mendakwa, sejak era 1990-an, mereka sudah berkali-kali memohon supaya laluan sejauh lima kilometer itu diturap tar, namun selepas tiga dekad berlalu, permohonan tersebut masih tidak ‘dilayan’.

Wakil penduduk, Idris Jusoh, 65, berkata, penantian selama 30 tahun untuk menikmati kemudahan jalan berturap masih tiada penghujung biarpun mereka pernah dimaklumkan bahawa permohonan itu diluluskan.

“Ini bukan jalan kecil, sebaliknya jalan utama yang digunakan penduduk untuk berulang-alik bagi melakukan pelbagai urusan harian. Sampai bila kami perlu hidup macam ini, sedangkan tempat lain sudah lama menikmati pelbagai kemajuan.

“Saya merayu kepada wakil rakyat untuk membawa suara kami dan segera menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Idris, setiap kali musim tengkujuh, keadaan jalan itu berubah menjadi lebih teruk dan berlubang-lubang, sekali gus mendedahkan penduduk dengan bahaya semasa melaluinya pada waktu malam.

Seorang lagi penduduk, Che Deraman Daud, 62, berkata, gara-gara tidak tahan terpaksa menggunakan jalan tidak rata dan berlubang-lubang setiap hari, penduduk ‘menaik taraf’ sendiri jalan itu.

“Kami ramai-ramai berpakat kumpul dana guna duit sendiri, kemudian beli batu kerikil untuk ditabur di atas jalan. Proses menabur batu itu dibuat secara bergotong-royong supaya jalan jadi lebih rata,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedia maklum mengenai masalah dihadapi penduduk Kampung Perol Lubok Tegayong.

“Perkara ini telah diangkat untuk pengetahuan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas. Jika tiada aral melintang, jalan di kampung itu akan diturap dengan tar dalam masa terdekat,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya