SEREMBAN: Laluan Jalan Temiang-Pantai di sini, yang menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk bergambar dipantau secara berterusan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan keselamatan pengguna lalu lintas.
Ia selepas tular dalam media sosial, sekumpulan individu daripada sebuah kelab kereta meletakkan kenderaan di lorong kecemasan kedua-dua arah di Jalan Temiang-Pantai untuk bergambar di jalan raya berkenaan.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pemantauan berterusan bagi memastikan tiada pengguna berhenti di lorong kecemasan dan bergambar lebih-lebih lagi dalam jumlah kenderaan yang banyak.
“Tindakan itu (memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan) boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain. Apabila mereka berhenti secara berkumpulan boleh mengganggu kelancaran trafik selain menimbulkan panik kepada pemandu lain yang dikhuatiri boleh menyebabkan kemalangan,” katanya di sini hari ini.
Hanif Yusabra berkata, tindakan pemandu yang berhenti di lorong kecemasan tanpa alasan yang munasabah adalah satu kesalahan.
“Mereka yang melakukan kesalahan ini boleh diambil tindakan mengikut Kaedah 53(1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 iaitu tiada kenderaan boleh diletak di mana-mana lorong kecemasan kecuali kes kecemasan.
“Bagi kesalahan itu, denda boleh dikenakan kepada pemandu tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Jelas beliau, JPJ menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya supaya tidak menimbulkan kesukaran dan membahayakan pengguna lain. – UTUSAN ONLINE