Jabatan Warisan Negara selamatkan perahu sagor - Utusan Malaysia

Jabatan Warisan Negara selamatkan perahu sagor

KAKITANGAN Jabatan Warisan Negara melakukan kerja mengukur perahu sagor yang ditemukan penduduk di Sungai Ketil di Kampung Lela, Kuala Pegang, Baling, Kedah. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Jabatan Warisan Negara mengambil usaha menyelamatkan perahu sagor yang ditemukan penduduk di Sungai Ketil berdekatan Kampung Lela, Kuala Pegang di sini, Isnin lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Muhamad Muda Bahadin berkata, pihaknya akan membawa perahu tersebut ke Muzium Negeri Kedah untuk proses konservasi selanjutnya.

“Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) dan Lembaga Muzium Negeri Kedah serta penduduk kampung mengambil inisiatif menyelamatkan perahu tersebut untuk proses konservasi dan penyelidikan bagi menentukan tarikh serta usia sebenar perahu ini.

“Proses ini penting untuk menghasilkan penceritaan sebenar tentang kewujudan perahu ini selepas dipulihkan dan akan dipamerkan untuk tontonan umum,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, perahu itu adalah sebatang kayu yang dibelah kemudian ditebuk untuk kegunaan orang dahulu sebagai salah satu cara pengangkutan jalan air.

“Usia sebenar perahu bersaiz 8.5 meter panjang dan satu meter lebar serta jenis kayu itu tidak dapat dipastikan tetapi berdasarkan beberapa penemuan perahu terdahulu, ia diperbuat pada abad ke-19,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk Kampung Chenerai, Khairul Zamri Mohd. Radzi, 36, berkata, sebelum menemukan perahu lama itu, sekitar pukul 11 pagi Isnin lalu dia dan rakannya menjala ikan di sungai tersebut.

“Ketika sedang asyik menjala, saya ternampak seperti tongkol kayu di tebing sungai, lalu mendekatinya dan menguis-guis pasir yang menutupi hujung kayu itu.”

“Tiga hari lalu, saya dan beberapa penduduk kampung mengorek pasir yang menutupi kayu itu dan terkejut apabila mendapati ia adalah sebuah perahu kayu lama yang terendam di situ,” katanya.

Selepas itu, tambahnya, seramai 15 orang cuba mengorek pasir dan mengangkat perahu tersebut ke tempat yang selamat sebelum penduduk menghubungi Jabatan Warisan Negara.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kupang, Badrul Hisham Che Li, berkata, perahu lama seumpama itu adalah kali ke tiga ditemukan di sepanjang Sungai Ketil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya