Jabatan baharu pembahagian harta pusaka ditubuhkan - Utusan Malaysia

Jabatan baharu pembahagian harta pusaka ditubuhkan

TAKIYUDDIN Hassan (dua kiri) ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah di Sik hari ini. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Sebuah jabatan baharu bakal ditubuhkan untuk menyelesaikan kes tunggakan pembahagian harta pusaka yang semakin meningkat setiap tahun.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, proses pelaksanaan mewujudkan jabatan baharu itu sudah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan.

“Kita nak satu jabatan ‘stand alone‘ dan juga ada pengarah-pengarah sendiri di peringkat negeri serta kakitangan. Sekarang ini kita belum ada dan ini kita sedang proses dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Takiyuddin berkata, sebelum ini Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KKPTG) melalui Bahagian Pembahagian Pusaka di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) merupakan satu-satunya jabatan kerajaan yang memberikan perkhidmatan pembahagian harta pusaka.

Menurutnya, perkhidmatan yang diberikan itu melibatkan kes pembahagian harta pusaka bernilai RM2 juta ke bawah.

“Pada 22 Disember lalu, Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 (Akta 98) diluluskan di Parlimen, Akta 98 ini akan meningkatkan bidang kuasa kes pembahagian harta pusaka daripada RM2 juta kepada RM5 juta selari dengan peningkatan hartanah semasa.

“Ia akan dapat membantu rakyat tanpa perlu membawa kes pembahagian ke mahkamah yang pastinya memerlukan kos khidmat guaman yang tinggi,” katanya.

Takiyuddin berkata, Bahagian Pembahagian Pusaka di bawah kementerian itu kini menerima  lebih 60,000 permohonan pembahagian pusaka setiap tahun.

Malah katanya, pemohonan pembahagian pusaka di Kedah pula melibatkan kira-kira 14,000 kes.

“Kerana itu, JKPTG telah menubuhkan pasukan khas untuk mempercepatkan proses menyelesaikan tunggakan kes tersebut termasuk melalui kaedah baharu secara dalam talian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya