PETALING JAYA: Sebanyak 15 individu lagi dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat ini berhubung isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Kesemua mereka yang terdiri daripada pegawai di syarikat Mara Corporation (Mara Corp), Syarikat Setiausaha dan bank-bank terlibat akan diambil keterangan sebagai saksi bagi melengkapkan siasatan itu.
Setakat ini, sebanyak 22 keterangan saksi termasuk lima pegawai kanan terlibat telah diambil SPRM.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, SPRM telah pun mengambil keterangan lima pegawai kanan yang didakwa terlibat dalam berkenaan.
Kata beliau, kesemua mereka dipanggil hadir merakam keterangan kira-kira pukul 3 petang ini.
“Keterangan mereka diambil secara serentak pada hari ini dan setakat ini tiada keperluan untuk menahan mereka memandangkan mereka hanya perlu menjelaskan mengenai dokumen yang diperoleh SPRM,” kata sumber itu di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu.
Dalam perkembangan berasingan, ditanya mengenai dakwaan penggunaan kad kredit korporat syarikat Mara Corp. membabitkan seorang pegawai kanan, Hishamuddin memberitahu, pihaknya masih dalam proses meneliti dokumen berkaitan.
“Kita masih belum memanggil sesiapa lagi memandangkan dokumen masih diteliti pasukan siasatan,” jelasnya.
Akhbar ini semalam melaporkan, setakat ini sebanyak 17 saksi telah dipanggil iaitu melibatkan tujuh orang pengurusan Mara Corporation (Mara Corp), Lembaga Pengarah Mara Corp (empat orang), Pegawai Mara (dua orang) dan Syarikat Setiausaha (seorang).
Turut telah dirakam keterangan iaitu masing-masing empat Lembaga Pengarah (BOD) Mara Corp dan pegawai Mara.
SPRM juga telah panggil tiga pegawai bank dan seorang pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
Antara dokumen yang diambil iaitu kertas cadangan dan minit mesyuarat BOD dan EXCO, dokumen kewangan dan payroll serta dokumen berkaitan sumber manusia (HR) selain dokumen berkaitan Standard Prosedur Operasi (SOP) dan surat aggrement (LOA). – UTUSAN