PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan memaklumkan pelaksanaan insentif pengecualian fi bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) kenderaan elektrik dan kenderaan orang kurang upaya (OKU) akan bermula masing-masing pada 15 Februari dan 15 Mac ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pengecualian bagi fi LKM kenderaan elektrik pula sudah bermula dari 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2025 dan ia membabitkan kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik sepenuhnya, sama ada yang dikuasakan dengan bateri.
“Bagaimanapun, ia tidak terpakai kepada mana-mana kenderaan motor jenis hybrid yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman sama ada dengan sumber petrol mahupun diesel. Permohonan bagi mendapatkan pengecualian ini adalah mulai esok,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini.
Dalam pada itu, bagi kenderaan OKU, Ka Siong berkata, pengecualian fi LKM sepenuhnya hanyalah terpakai kepada kenderaan motor yang diubah suai khas untuk kegunaan OKU dan bagi kenderaan motor yang tidak diubah suai, pengecualian hanya kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan Kereta Nasional.
“Kenderaan motor terbabit hendaklah didaftarkan dan dilesenkan di atas nama individu OKU tersebut, dan individu OKU hendaklah telah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor yang didaftarkan atau dimiliki oleh ibu bapa atau penjaga yang berdaftar dan mempunyai anak OKU serta pasangan suami atau isteri yang mempunyai pasangan OKU, dengan syarat individu OKU terbabit juga berdaftar dengan JKM,” katanya.
Katanya, mana-mana pemilik kenderaan yang terbabit dengan dua kategori pengecualian itu yang telah melesenkan kenderaan mereka mulai 1 Januari lalu, pemilik kenderaan atau wakil boleh hadir ke kaunter JPJ untuk menyerahkan balik LKM tersebut.
Malah Ka Siong berkata, mereka berhak dibayar dengan cara rebat apa-apa amaun sebagaimana yang ditetapkan.
“Tarikh mula permohonan boleh dikemukakan kepada JPJ dan pemilik kenderaan atau wakil boleh memohon bagi mendapatkan pengecualian LKM semula ke atas kenderaan mereka. Oramai boleh menghubungi talian perhubungan khidmat pelanggan JPJ bagi mendapatkan lain-lain maklumat dan perincian mengenai pelaksanaan insentif ini,” katanya.
Insentif pengecualian fi LKM bagi kenderaan elektrik dan OKU berkenaan diumumkan pada Bajet 2022 yang lalu. – UTUSAN