ICFL sedia anjurkan kejohanan B-16 di empat zon - Utusan Malaysia

ICFL sedia anjurkan kejohanan B-16 di empat zon

KAMIL (tiga dari kanan) dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman dengan Presiden Grey United, Datuk Azmi Arifin (tiga dari kiri) yang turut disaksikan Pengarah Pembangunan Sukan MSN, Mohd. Safrushahar Yusoff (dua dari kanan) pada sidang media kejohanan itu di Selayang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Inter Club Football League (ICFL) bersedia menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 tahun (B16) Peringkat Kebangsaan 2022 melibatkan empat zon iaitu zon pantai timur, selatan, utara dan tengah.

Penganjuran pertama akan bermula di Kota Bharu, Kelantan yang mewakili Zon Timur pada 1 hingga 4 Mac ini dengan melibatkan 16 pasukan berentap merebut kejuaraan tersebut.

“Kita juga dalam perancangan untuk adakan kejohanan seperti ini mengikut zon-zon. Kali ini kita bermula di Kelantan iaitu zon timur, selepas ini kita akan ke selatan, utara dan akhir sekali di zon tengah iaitu Kuala Lumpur,” kata Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar kepada media, di Selayang, hari ini.

Kejohanan itu diadakan dengan kerjasama daripada Grey United FC dan sokongan Majlis Sukan Negara (MSN)  serta Majlis Sukan Negeri Kelantan.

Selain itu, dua pasukan Akademi Mokhtar Dahari yang berpengkalan di Gambang, Kuantan, Pahang dijangka turut menyertai kejohanan berkenaan.

Tambah Kamil menjelaskan, tujuan utama kejohanan itu adalah mewujudkan satu platform khas untuk anak-anak muda dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berkualiti.

“Selain itu, ICFL turut menyediakan ‘system data base‘ bagi setiap pemain dan pasukan yang terlibat untuk persediaan mereka menjadi pemain professional.

“Sistem ini telah terbukti keberkesanannya kerana terdapat perubahan besar yang berlaku terhadap pemikiran dan pencapaian pemain di peringkat lebih tinggi, malah ada di antara mereka telah terpilih mewakili daerah dan negeri masing-masing.

“Pasukan juara akan mewakili ICFL Malaysia bersaing dalam kejohanan antarabangsa melibatkan pasukan dan kelab dari luar negara seperti Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun,” ujarnya.

Dalam masa sama, ICFL turut berharap agensi-agensi kerajaan dan swasta tampil memberikan sokongan padu kepada penganjuran tahun ini bagi melahirkan pemain yang berkualiti dan menjadi pelapis kepada pasukan kebangsaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya