Ibu sebak terima ijazah arwah anak - Utusan Malaysia

Ibu sebak terima ijazah arwah anak

JAMIAH menerima ijazah Allahyarham Nursafiq daripada Arshad pada istiadat konvokesyen di Kampus Unisel di Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seorang ibu terpaksa menahan sebak apabila menerima ijazah arwah anak lelakinya pada Istiadat Konvokesyen ke-15 Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya di sini, hari ini. 

Jamiah Wahab, 51, hadir mengambil skrol bagi pihak Allahyarham Nursafiq Hamizan Jafri, 26, yang meninggal dunia akibat sakit batuk kering pada 4 Mei tahun lalu.

Anak sulung daripada empat beradik itu menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Pengurusan Perpustakaan) secara anumerta daripada Canselor Unisel, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda. 

Menurut Jamiah, dia menyedari arwah Nursafiq sering kali mengalami batuk ketika mereka berkomunikasi menerusi panggilan video sebelum ini.

“Saya berpesan kepada arwah anak supaya menjalani pemeriksaan kesihatan namun ditolak dengan alasan banyak tugasan kuliah.

“Allahyarham kemudian dimasukkan ke hospital sebelum meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Seramai 2,864 graduan menerima ijazah masing-masing dalam konvokesyen itu yang bermula hari ini hingga Rabu depan.

Tambah Jamiah, Nursafiq amat meminati bidang kewartawanan dan cenderung menjadi penyampai radio atau wartawan.

“Hasrat arwah itu akan diteruskan adik perempuannya (Nur Lily Shafiqah, 21) yang mahu mengambil jurusan sama kelak.

“Kami redha dengan pemergian Nursafiq dan berbangga dengan kejayaan yang diperolehnya,” katanya yang menetap di Bagan Datuk, Perak.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta kepada UNISEL bagi meningkatkan data internet universiti itu tahun ini.

“Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada Belanjawan Selangor 2022 yang dibentangkan pada November tahun lalu.

“Ia mampu memberi kemudahan kepada pelajar dan memberi nilai tambah kepada universiti milik kerajaan negeri untuk terus berdaya saing,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya