KEMAMAN: Ibu kepada remaja berusia 15 tahun yang dipercayai menikam bayinya sejurus selepas dilahirkan tidak menyedari anak tunggalnya itu hamil sepanjang tempoh sembilan bulan ini.
Malah, wanita berusia dalam lingkungan awal 40-an yang merupakan tukang cuci di sebuah hotel itu juga terkejut anaknya melahirkan bayi bersendirian di rumah ketika dia keluar bekerja.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat ketika menziarahi keluarga remaja berkenaan di sini semalam.
Katanya, pada pagi hari kejadian, ibu tunggal itu sempat mengetuk bilik tidur anaknya dan memaklumkan keluar bekerja.
“Anaknya menyahut seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Namun, dia tidak pasti sama ada remaja itu sudah bersalin atau belum pada waktu berkenaan. Dia hanya mengetahui kejadian tersebut selepas dihubungi rakan anaknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, bayi lelaki seberat 2.49 kilogram ditemukan mati dengan kesan tikaman dipercayai dibunuh ibunya sejurus selepas dilahirkan.
Menurut Hanafiah, remaja yang menjadi suspek utama pembunuhan bayinya itu aktif berbasikal dan tinggal berdua bersama ibunya selepas kehilangan bapa beberapa tahun lalu.
Katanya, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan memberikan khidmat kaunseling kepada ibu remaja berkenaan yang masih trauma dengan tragedi itu. – UTUSAN