Harimau belang di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dipercayai dari hutan simpan berhampiran - Utusan Malaysia

Harimau belang di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dipercayai dari hutan simpan berhampiran

RAKAMAN video seekor harimau yang dikatakan berkeliaran di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Harimau belang yang dilapor ditemukan orang awam di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini, dipercayai dari hutan simpan berhampiran.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, haiwan pemangsa itu kemungkinan tersesat di kawasan berkenaan ekoran mengejar haiwan buruan.

Katanya, tinjauan dilakukan anggota Perhilitan di lokasi penemuan haiwan liar itu namun harimau tersebut tidak kelihatan dipercayai masuk ke hutan simpan berkenaan.

“Selain orang awam, kehadiran harimau belang itu turut dilihat oleh anggota polis bantuan yang berada di lokasi pada hari sama. Kita akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan orang ramai dan keselamatan harimau itu sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan haiwan tersebut.

Katanya, tindakan membunyikan hon hingga mengejutkan haiwan itu selain turun dari kenderaan atau cuba membaling objek ke arah harimau tersebut dikhuatiri boleh mengundang kejadian tidak diingini.

Terdahulu,  tular video berdurasi 17 saat yang merakamkan seekor harimau belang di satu kawasan semak yang berbukit. Berdasarkan keterangan pada video itu, haiwan itu dikesan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands selepas kawasan rehat dan rawat atau Banjaran Cafe. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya