KUALA TERENGGANU: Pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) di negeri ini masih lagi rendah dengan kira-kira 12 peratus atau bersamaan 21,901 orang sahaja daripada keseluruhan 628,914 kanak-kanak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, keadaan itu berpunca akibat sikap sebahagian besar ibu bapa atau penjaga yang mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menerima suntikan berkenaan.
Katanya, pada peringkat awal kerajaan negeri menyasarkan pendaftaran seramai 124,206 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.
“Sehubungan itu, kita akan meneruskan lagi kempen kesedaran kepada penjaga atau ibu bapa untuk mendaftarkan suntikan vaksin Covid-19 kepada anak-anak mereka.
“Malah, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah diminta membuat tinjauan dan mengambil persetujuan penjaga bagi mencapai sasaran itu,” katanya selepas melancarkan PICKids Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.
Alias berkata, sebanyak 141 pusat pemberian vaksin (PPV) akan dibuka bagi pelaksanaan PICKids dengan 64 daripadanya merupakan PPV sekolah diikuti 39 klinik swasta, klinik kesihatan (24), PPV offsite (lapan) dan hospital (enam). – UTUSAN