SEREMBAN: Penggunaan sesetengah nama Inggeris di sesuatu taman perumahan dan projek komersial kebiasannya bertujuan mengekalkan nama asal di sesuatu kawasan tersebut.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, seperti nama Bandar Ainsdale dan Bandar Hamilton yang dibangunkan di negeri ini yang sebenarnya merujuk kepada nama asal iaitu Ladang Ainsdale dan Ladang Hamilton.
“Memang nama asalnya itu, mungkin orang tidak perasan, kawasan perindustrian Hamilton, dahulu dipanggil estet Hamilton, biasa bagi orang di situ. Bandar Ainsdale, dahulunya Ladang Ainsdale.
“Kalau boleh saya mahu letak nama mawar, teratai tetapi pihak pemaju melihat secara komersial jadi ini yang berlaku tetapi kami memang menggalakkan penggunaan nama-nama tempatan ini yang sememangnya harus perkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan rasa kecewa beberapa tokoh budaya dan warisan Negeri Sembilan berkenaan banyak berlaku penggunaan nama Inggeris bagi projek taman perumahan dan komersial di negeri ini.
Jelas mereka, penggunaan nama-nama tersebut mestilah mengutamakan bahasa Melayu selain mesti melambangkan jati diri negara ini yang boleh dibanggakan.
Dalam itu, Aminuddin berkata, perkara mengenai penggunaan sesuatu nama tersebut adalah terletak kepada tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meluluskannya.
“Mereka kena ada dasar yang baik untuk pastikan pengggunaan nama itu, kalau tidak berasas tentu kita tidak boleh pertimbangkan. Kalau nama asal diguna itu (tidak mengapa) tetapi kalau tiada, mahu pula guna nama Inggeris, tidak payah la, kita Malaysia banyak lagi nama yang sesuai,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, sebarang dakwaan yang mengatakan PBT termasuk pihaknya mengabaikan penggunaan nama bahasa Melayu adalah tidak berasas kerana ia menjadi syarat utama dalam setiap permohonan oleh pemaju.
“Sebagai contoh jika tiada signifikan dalam nama yang diusulkan, memang kami tolak dan minta mereka menggunakan nama bahasa Melayu. Pemaju sekiranya mereka mahu menamakan taman perumahan, jalan mereka mesti merujuk terlebih dahulu kepada kami.
“MBS memang tegas dalam isu penggunaan nama ini, apa kaedah yang mungkin mereka kena utamakan bahasa Melayu,” katanya.
Beliau turut mengakui, bagi sesetengah kawasan terdapat beberapa nama Inggeris digunakan kerana ia melibatkan faktor warisan dan telah lama dikenali dengan nama tersebut dan ia dikekalkan dengan diselitkan sedikit nama daripada bahasa kebangsaan.- UTUSAN ONLINE