Golongan berisiko elakkan pergi ke tempat tumpuan awam - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Golongan berisiko elakkan pergi ke tempat tumpuan awam – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan) berkenan berangkat menyerahkan sumbangan MAIPs kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Sirajuddin, Padang Pauh, Kangar, Perlis, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kumpulan berisiko seperti warga emas yang mempunyai  komorbiditi selain kanak-kanak disarankan tidak ke tempat-tempat tumpuan awam jika tiada keperluan bagi mengelak penularan atau jangkitan Covid-19 yang kembali meningkat ketika ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, rakyat hendaklah terus mengambil sikap dan tanggungjawab sosial dengan memastikan aplikasi MySejahtera digunakan setiap kali memasuki premis perniagaan atau tempat tarikan pelancong.

Dalam masa sama, titah baginda, para pemilik premis juga mesti memainkan peranan dengan memastikan hanya pelanggan yang berisiko rendah dan lengkap vaksinasi dibenarkan masuk bagi mengurangkan penularan jangkitan.

“Bagi sama-sama mendepani peningkatan kes Covid-19 sama ada di Perlis dan negara, dinasihatkan jika tiada keperluan, kumpulan berisiko seperti warga emas yang mempunyai komorbiditi dan kanak-kanak disarankan tidak perlulah pergi ke tempat-tempat tumpuan awam pada masa ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Sirajuddin, Padang Pauh di sini, hari ini.

Asnaf terbabit masing-masing menerima RM700 yang akan diagihkan oleh amilnya, Zakaria Khamis.

Mengiringi baginda, Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Seterusnya baginda mengingatkan masyarakat agar tidak sesekali leka dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) disamping mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim berkata, kes Covid-19 sekali lagi menunjukkan peningkatan mendadak bukan sahaja di Malaysia namun di luar negara.

Katanya, di Perlis sebanyak 275 kes dilaporkan pada minggu lalu iaitu peningkatan 164 peratus berbanding minggu sebelumnya. 

“Namun, 97.5 peratus adalah kategori 1 dan 2 ringan dan hanya 12 peratus dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan hospital dengan tiada kematian direkodkan. 

 “Tren peningkatan ini adalah disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak. Selain itu, Perlis juga mencatatkan kejadian kluster Covid-19 di institusi pendidikan dan tempat kerja. Penularan tersebut berpunca daripada jangkitan dari komuniti dan telah menular di institusi dan premis terbabit,” katanya.

Tambah Sirajuddin, ketidakpatuhan SOP dan kurangnya pengamalan norma baharu adalah antara faktor penyumbang kepada kluster yang telah dikenal pasti. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya