PUTRAJAYA: Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bukan lagi pengajian kelas kedua untuk mereka yang tercicir atau kurang cemerlang, sebaliknya berupaya menyumbang tenaga kerja baharu berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang baharu yang penting kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Malah, lepasan TVET mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi ketika ini dan menerusi pendigitalan pendidikan, negara dapat membangunkan modal insan berkualiti dengan pengetahuan dan kemahiran terkini.
Untuk itu, kerajaan buat julung kalinya menubuhkan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) yang diterajui industri terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan TVET negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan badan itu khususnya berkaitan keperluan kemahiran dan tenaga kerja itu dianggotai 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju berganding bahu menjayakan agenda TVET negara melalui GITC.
Perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) dipengerusikan Perdana Menteri secara telesidang, hari ini yang turut dihadiri 13 menteri, tokoh industri termasuk dari Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, ahli akademik dan wakil pelajar.
Menurut Perdana Menteri, mesyuarat juga bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi.
“Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.
“Sejumlah 12 hab dikenal pasti termasuk automotif, semikonduktor, marin, penyaman udara, aeroangkasa, robotik, rel, telekomunikasi, hospitaliti dan pelancongan serta teknologi makanan yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan semalam.
Ismail Sabri berkata, mesyuarat berkenaan secara dasar turut bersetuju dengan cadangan penarafan tunggal TVET, namun, proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET akan datang.
Jelas beliau, inisiatif ini dijangka memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.
Beliau berkata, usaha-usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Di bawah Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan.
“Inisiatif-inisiatif ini bakal menyediakan graduan yang menepati keperluan industri, meningkatkan kualiti institusi TVET, memperkukuh penawaran program berorientasikan industri dan memperhebat keterlibatan aktif industri,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sudah tiba masanya TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri untuk masa depan kerana TVET telah terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata beliau, diminta membuat pendedahan awal sistem pendidikan TVET kepada pelajar Tingkatan 1, agar mereka boleh membuat pilihan bersesuaian dengan kecenderungan mereka.
Beliau memberitahu, sehingga kini, terdapat 1,295 penyedia TVET awam dan swasta yang merentasi 11 kementerian termasuk 22 institusi TVET kerajaan negeri di seluruh Malaysia, yang menyediakan pengajian peringkat sijil dan diploma.
“Kerajaan kini mengiktiraf Diploma Vokasional Malaysia (DVM) sebagai laluan ke rangkaian universiti teknikal awam di Malaysia (MTUN) iaitu Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).
“Elemen-elemen ini berupaya menjadikan seseorang belia lebih berdikari dan mampu menyesuaikan diri dalam suasana kerjaya mencabar,” katanya.
Menyedari kepentingan TVET, jelas Perdana Menteri, mesyuarat turut bersetuju agar kempen, promosi dan penjenamaan semula dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.
Melalui kempen dan promosi itu, kata Perdana Menteri, TVET diharapkan dijadikan pilihan setara dengan akademik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan sepertimana negara maju yang lain. – UTUSAN