Gajah liar ceroboh, musnah tanaman di Padang Terap - Utusan Malaysia

Gajah liar ceroboh, musnah tanaman di Padang Terap

PENDUDUK melihat sebahagian pokok kelapa yang dimusnahkan sekumpulan gajah liar di Bukit Panchor, Kampung Lebai Saman, Naka, Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Lebih 50 penduduk di Bukit Panchor, Kampung Lebai Saman, Naka di sini berada dalam keadaan ketakutan selepas terdapat sekumpulan gajah liar menceroboh dusun buah-buahan dan kebun getah mereka, kelmarin.

Penduduk mendakwa gajah liar itu memusnahkan sebahagian hasil tanaman mereka seperti pokok kelapa, pisang dan pinang.

Seorang penduduk, Mohd. Derisi Abd. Halim, 50, berkata, penduduk terkejut mendapati hasil tanaman mereka dimusnahkan oleh kumpulan gajah liar tersebut.

Kataya, kawasan berkenaan pernah diceroboh oleh kumpulan haiwan itu kira-kira lima tahun lalu.

“Kehadiran kumpulan gajah tersebut membimbangkan penduduk yang ingin memasuki kawasan dusun buah-buahan dan kebun getah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Hashim Awang Jasin,66, pula berkata, haiwan tersebut mungkin datang dari kawasan Pedu yang berhijrah dengan merentasi Bukit Panchor untuk mencari makanan.

Katanya, dia percaya jumlah gajah yang menceroboh kawasan tersebut melebihi lima ekor berdasarkan najis dan tapak kaki gajah di kawasan itu

“Kemungkinan selain gajah liar itu mencari makanan di kawasan itu selepas terdapat kegiatan pembalakan di kawasan Pedu,” ujarnya.

Rosli Ismail, 40, pula berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menangkap atau menghalau haiwan itu dari kawasan tersebut untuk menjamin keselamatan penduduk.

“Penduduk telah memaklumkan kepada Perhilitan untuk mengambil tindakan segera dan pihak berkenaan berjanji menyiasat laporan pencerobohan haiwan liar itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya