Fenomena sungai berwarna putih, kilang didenda RM10,000 - Utusan Malaysia

Fenomena sungai berwarna putih, kilang didenda RM10,000

KEADAAN fenomena sungai berwarna putih akibat sisa yang dilepaskan oleh sebuah kilang berasaskan makanan di SPU, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sebuah kilang berasaskan makanan di Seberang Perai Utara (SPU) di sini dikompaun RM10,000 selepas didapati mencemarkan parit awam dengan sisa buangan.

Kilang terbabit disiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang yang menerima aduan daripada orang awam berhubung fenomena sungai berwarna putih yang berlaku di kawasan tersebut.

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, bertindak daripada aduan itu, sekumpulan pegawai menjalankan siasatan bagi menjejak punca pencemaran menggunakan dron di sekitar kawasan yang disyaki terlibat.

Katanya, siasatan mendapati kilang itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (efluen perindustrian) 2009 kerana gagal mengendalikan sistem pengolahan efluen perindustrian dengan baik sehingga mencemarkan parit awam.

Selain itu jelas beliau, kilang tersebut juga gagal mematuhi pengurusan buangan terjadual di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (buangan terjadual) (BT) 2005.

“Sehubungan itu, pihak premis turut diarahkan mengambil tindakan serta-merta memberhentikan sebarang pelepasan efluen tanpa dirawat  dan menutup semua  pintasan yang dipasang secara haram di dalam premis kilang untuk mengalirkan air sisa tanpa rawatan terus ke parit awam.

“Pihak kilang juga diarah menaik taraf sistem pengolahan efluen sedia ada dan buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan berkaitan di bawah Peraturan Buangan Terjadual 2005,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, JAS Pulau Pinang berterima kasih kepada orang awam yang membuat aduan dan membekalkan maklumat yang tepat dan cepat bagi memudahkan tindakan diambil pihaknya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya