LIPIS: Ketika sibuk menyediakan juadah tengah hari, penduduk gempar selepas enam rumah teres terbakar dalam kejadian di Taman Pertama, Sungai Kerpan di pinggir bandar Kuala Lipis di sini hari ini.
Bagaimanapun, kejadian pukul 12 tengah hari itu tidak melibatkan kecederaan.
Ketua Zon Tiga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir berkata, selepas menerima panggilan kecemasan, anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Kuala Lipis ke Taman Pertama dan mendapati enam rumah teres terbakar.
“Kita telah melakukan tugasan memadam dengan menggunakan dua aliran hos, dua aliran salur bantu dan empat pacutan daripada air pili bomba berdekatan dan berjaya mengawal api dalam tempoh setengah jam.
“Kebakaran ini memusnahkan keseluruhan dua buah rumah teres, sebuah mengalami kemusnahan 60 peratus, manakala tiga buah lagi cuma dijilat api dalam anggaran 6 peratus,” katanya di Taman Pertama di sini hari ini.
Menurut Sharul Nizam, seramai tiga pegawai dan 15 anggota bomba menggunakan tiga buah jentera daripada Balai Bomba Kuala Lipis serta bantuan balai Sungai Koyan menjalankan operasi pemadaman serta membuat pemeriksaan keselamatan selepas kebakaran.
“Punca kebakaran serta kerugian dalam kejadian ini masih dalam siasatan dan taksiran,” ujarnya. – UTUSAN