KLANG: Seramai enam orang anggota di bawah pentadbiran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara terlibat dalam kesalahan integriti dan tatatertib sejak September tahun lepas.
Bagaimanapun jumlah berkenaan dianggap terpencil jika dibandingkan dengan kesungguhan dan komitmen kekuatan keseluruhan anggota dan pegawai di IPD berkenaan seramai 625 orang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, tidak dinafikan wujud kes-kes sedemikian berdasarkan laporan diterimanya sejak berkhidmat selama lima bulan di IPD berkenaan, walau bagaimanapun tiada kes berkaitan rasuah dilaporkan.
“Ada enam kes melibatkan kesalahan membabitkan integriti atau salah guna kuasa seperti pemerasan, dadah dan pencabulan. Masalah lebih kepada integriti dan moral, tetapi tidaklah sampai mencemarkan nama baik pasukan,” katanya hari ini.
Beliau menambah, keenam-enam anggota terlibat masih lagi dalam siasatan dan sedang menunggu laporan berkaitan lengkap untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, namun mereka masih lagi bertugas seperti biasa.
“Kalau tiada tuduhan mungkin dikenakan tindakan tatatertib dalaman. Daripada 625 anggota dan pegawai kalau lihat enam sahaja yang terlibat, saya rasa dalam 0.1 peratus sahaja. Kalau hendak 100 peratus baik susah hendak dapat, mana-mana jabatan pun.
“Enam kes itu tidak terlalu serius, semua masih lagi bertugas. Jadi, kita kena ingatkan sentiasa jaga nama baik pasukan,” katanya.
Sementara itu, Vijaya Rao turut memaklumkan IPD Klang Utara memastikan sasaran tahun ini ditetapkan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman dalam penyelesaian kes yang mana 40 peratus daripadanya mesti diselesai dan dituduh di mahkamah.
“Jadi, kita akan terus bekerja. Tahun ini memang kita teruskan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan adalah 45 peratus. Kalau 100 kes, 45 daripadanya mesti dituduh di mahkamah. Kita akan bekerja bersama-sama dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Terdahulu, beliau menyampaikan surat penghargaan kepada 40 anggota dan pegawai dalam Perhimpunan Bulanan IPD Klang Utara yang diadakan di Balai Polis Kapar.
Menurut Vijaya Rao, kali terakhir perhimpunan tersebut diadakan adalah pada 2019 sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.
“Perhimpunan ini tidak diadakan pada 2020 dan 2021. Justeru, ini adalah kali pertama pada tahun ini bagi menyampaikan mesej daripada KPD berkenaan isu integriti, imej dan prestasi kerja pegawai dan anggota sebelum ini supaya boleh ditambah baik.
“Pada kali ini kita berikan kepada 40 orang melibatkan pegawai kanan, pegawai pakar undang-undang dan pegawai awam sebagai satu penghargaan kepada mereka selepas melaksanakan tugas dan tanggungjawab dilaksanakan,” ujarnya.