Empat sekawan berdepan hukuman mati - Utusan Malaysia

Empat sekawan berdepan hukuman mati

KESEMUA tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Jalan Dato Onn, Mersing Kanan di Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Empat sekawan berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga bekas banduan, awal bulan ini.

Tertuduh, Muhamad Azrul Othman, 32; Quyum Razi Abdullah, 33; Hardianshah Adnan, 31, dan Syed Mahadi Munap, 42, menggangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama membunuh Mohd. Rizal Ab. Talib, 39, di tepi Jalan Dato Onn, Mersing Kanan kira-kira pukul 7.19 hingga 7.22 pagi, pada 3 Februari lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Rashidah turut mencadangkan kepada kesemua tertuduh agar melantik peguam sebelum tarikh sebutan semula kes bagi membela diri.

Mahkamah menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan hasrat seorang bekas banduan untuk mencari kerja di Mersing selepas baru sebulan keluar dari penjara berakhir tragedi apabila meninggal dunia akibat dipukul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata mangsa disyaki dipukul menggunakan rotan oleh tiga lelaki yang menaiki Proton Iswara, sebelum melarikan diri sejurus selepas kejadian.

Beliau berkata, kejadian berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik penghuni sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya