Empat ditahan jual MC palsu

Empat ditahan jual MC palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Padah jual sijil cuti sakit palsu (MC), empat individu terdiri daripada dua lelaki serta dua wanita warga tempatan disyaki terlibat dalam sindiket terbabit ditahan polis dalam dua operasi berasingan kelmarin.

Tangkapan dua suspek pertama dilakukan pada pukul 10.45 malam oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor di Seksyen 7 di sini selepas satu risikan dilakukan.

Ketuanya, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, tangkapan di Seksyen 7 membawa kepada kepada penemuan seorang lagi suspek yang merupakan pembuat dan pencetak MC palsu dekat sebuah rumah di Jalan Kaloi 17/17 Seksyen 17 pada 8 Februari pukul 12.30 tengah malam.

“Susulan itu juga, suspek keempat yang merupakan ejen turut ditangkap kira-kira sejam kemudian di Taman Sri Muda, Seksyen 25. 

“Dalam serbuan berkenaan, sejumlah dokumen sijil cuti sakit palsu yang siap dicetak dan juga peralatan untuk membuat dan mencetak sijil dirampas,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambahnya, kesemua suspek disyaki menjual MC hospital, klinik kerajaan dan swasta, walau bagaimanapun tiada laporan polis diterima daripada pihak hospital atau klinik berkenaan.

Azman menambah, hasil serbuan mendapati 62 keping sijil palsu, lima telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah set komputer dan mesin pencetak, dua keping kad ATM, dua keping kertas putih bertulis jumlah pembayaran pelanggan dan sebungkus kertas bersaiz A4 berwarna peach ditemukan.

Jelasnya lagi, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 11 Februari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan memperdaya dengan mengemuka dokumen palsu sebagai sah.

Sabit kesalahan, keempat-empat suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun berserta sebatan dan denda.

“Pihak JSJK Selangor ingin menasihatkan agar orang ramai tidak terperdaya dengan sindiket menjual sijil cuti sakit palsu untuk mengambil jalan muda bagi mendapatkan cuti. Sekiranya terdapat individu dikenalpasti membelinya boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 420 KK.

“JSJK Selangor juga menyarankan agar mana-mana pihak yang pernah menerima sijil cuti sakit palsu hendaklah tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya