BEIJING : Atlet luncur salji sensasi Austria, Anna Gasser berjaya mempertahankan pingat emas selepas mendominasi acara Big Air pada temasya Sukan Olimpik 2022 musim sejuk di Beijing kelmarin.
Pada saingan tersebut, Gasser berjaya mengutip keseluruhan 185.50 mata sekali gus menewaskan pencabar terdekat dari New Zealand, Zoi Sadowski Synnott yang meraih pingat perak dan atlet dari Jepun, Kokomo Murase melengkapkan kedudukan podium.
Kata Gasser, apa yang dicapainya kali ini lebih istimewa ketika meraih pingat emas edisi 2018 di Korea Selatan kerana dirinya kini merupakan atlet luncur salji wanita tertua yang mara ke pusingan akhir.
“Ini adalah saingan yang mencabar buat saya kerana perlu bersaing dengan atlet-atlet muda seperti Synnott dan Murase yang memiliki tenaga serta stamina lebih tinggi. Namun, sudah tentu saya menggunakan setiap pengalaman yang dimiliki untuk pamerkan prestasi konsisten.
“Apa yang pasti, pujian wajar diberikan kepada Synnott dan Murase kerana memberi cabaran yang cukup sengit kepada saya sepanjang pusingan akhir kali ini dan ia terbukti apabila perbezaan kutipan mata antara kami semua tidak terlalu ketara.
“Secara keseluruhan, saya cukup beremosi kerana tidak menyangka pada usia yang dianggap sebagai penghujung karier, saya masih mampu menyumbangkan pingat emas buat kontinjen Austria dan ia adalah satu kebanggan buat saya,” katanya yang kini berusia 31 tahun.
Perjalanan karier Gasser dianggap unik kerana ketika remaja dia merupakan atlet gimnastik sebelum mengambil keputusan untuk fokus pada sukan luncur salji bermula usia 18 tahun. – AGENSI