KUALA LANGAT: Tindakan dua premis rumah kedai di sini, yang terletak bersebelahan menjalankan kegiatan melombong mata wang Bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik, terbongkar.
Siasatan terhadap premis bernombor 152 dan 154 di Jalan Nilam, Taman Nilam, Banting itu terdapat bacaan meter yang meragukan sebelum pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Seal dari TNB Selangor mengesyaki berlaku kecurian elektrik akibat aktiviti perlombongan itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superitendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, TNB Seal bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat kemudian membuat serbuan ke atas kedua-dua premis terbabit semalam.
Menurutnya, dalam serbuan di premis pertama bernombor 152, polis menemukan dan merampas 77 mesin Bitcoin bersama power supply, satu modem jenama Vivo, Huawei dan Tp-link. Selain itu, satu unit pemprosesan komputer (CPU) jenama Acer, berserta monitor berjenama sama, papan kekunci dan tetikus.
Dalam serbuan kedua di premis 154 pula, polis merampas 58 mesin Bitcoin bersama power supply, satu modem jenama Huawei, Viano dan Tp-link serta satu CPU jenama Loqic beserta monitor jenama Acer, papan kekunci dan tetikus.
“Semasa serbuan dijalankan, tiada penjaga premis yang berada di kedua-dua premis tersebut. Polis sedang berusaha mengesan penyewa dan pemilik premis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Ridhwan menambah, siasatan awal mendapati premis yang beroperasi lebih sebulan itu menyebabkan TNB kerugian antara RM50,000 hingga RM60,000 sebulan.
Jelasnya, kes disiasat di bawah seksyen 379/427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan khianat ke atas elektrik yang mana kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya.
“Polis Kuala Langat akan menjalankan operasi secara berterusan untuk membanteras kegiatan jenayah ini dan amaran keras diberikan kepada semua sindiket atau individu yang menjalankan kegiatan curi elektrik bagi tujuan perlombongan Bitcoin supaya memberhentikan kegiatan jenayah ini.
“Polis Kuala Langat juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap semua premis yang menjalankan aktiviti bitcoin secara haram serta mencuri elektrik sehingga menyebabkan pihak TNB mengalami kerugian RM 50,000 hingga RM 60,000 sebulan,” tegasnya. – UTUSAN