Dua polis direman dakwaan terima rasuah untuk tutup kes - Utusan Malaysia

Dua polis direman dakwaan terima rasuah untuk tutup kes

DUA anggota polis berpangkat koperal dan sarjan hadir ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman berhubung siasatan terhadap kes rasuah bernilai RM20,000 di Mahkamah Majistret di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan dua anggota polis yang disyaki meminta sogokan sebanyak RM20,000 bagi menutup kes berkaitan dokumen palsu terbongkar menyebabkan kedua-duanya direman  empat hari bermula hari ini.

Suspek berusia 36 tahun dan 37 tahun itu terdahulu hadir ke Mahkamah Majistret sebelum Majistret, Sabreena Bakar @ Bahari memerintahkan mereka direman bagi membantu siasatan terhadap kes tersebut selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, kedua-dua suspek berpangkat koperal dan sarjan yang bertugas dekat balai polis di sekitar Selangor ditahan antara pukul 4 petang hingga 6 petang semalam,  dekat sebuah restoran di Gombak.

Menurut sumber, berdasarkan maklumat awal, masing-masing dikatakan bertugas selama lapan bulan dan lapan tahun di balai berkenaan.

“Mereka didakwa meminta dan menerima rasuah daripada seorang pesara tentera berusia 50-an. Ini bagi menutup kes berhubung siasatan dokumen palsu dalam perjanjian sewaan rumah membabitkan wang berjumlah RM4,000,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang wanita bekerja sebagai juruwang sebuah restoran turut direman empat hari selepas disyaki meminta rasuah daripada seorang lelaki warga Bangladesh sebanyak RM15,000 sebagai bayaran untuk mendapatkan kad pengenalan pemastautin tetap.

Suspek berusia 21 tahun ditangkap pukul 4 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor.

“Transaksi wang rasuah itu dipindahkan ke akaun juruwang wanita itu sebagai bayaran kepada dua lelaki tempatan dengan sebahagian wang itu akan diberikan kepada pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan proses kelulusan kad pengenalan itu,” jelas sumber.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dengan kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya