Dua individu disaman Siti Nordiana mohon batal writ saman - Utusan Malaysia

Dua individu disaman Siti Nordiana mohon batal writ saman

SITI NORDIANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua individu yang disaman penyanyi Siti Nordiana Alias berhubung dakwaan memfitnahnya dalam laman Instagram telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan oleh selebriti itu.

Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, turut memfailkan satu lagi permohonan untuk membatalkan perenggan-perenggan tertentu dalam jawapan pembelaan penyanyi berkenaan.

Kedua-dua permohonan tersebut akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong pada 26 April ini.

Perkembangan itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana selaku plaintif selepas sesi pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Puteri Norshiela Rahimi.

Dalam prosiding itu, kedua-dua defendan keempat dan kelima diwakili oleh peguam Nurul Hafidzah Hassan.

Pada 3 Januari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kedua-dua individu  untuk memindahkan prosiding perbicaraan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pada Julai 2021, Siti Nordiana, 37, atau lebih dikenali sebagai Nana memfailkan saman RM2.5 juta terhadap lima individu itu atas dakwaan memfitnahnya dalam laman sosial Instagram.

Plaintif turut menamakan Mohd. Razlan Mohamed Yusof atau penyanyi Lan Solo, isterinya Nur Sheila Hassim dan Zuraidah Badron atau Syura masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Perbicaraan setakat ini telah berlangsung selama dua hari dengan mendengar keterangan Siti Nordiana melalui sesi pemeriksaan balas.

Ketika perbicaraan yang berlangsung pada 20 Oktober lalu, Siti Nordiana antara lain mendakwa beliau difitnah dalam laman Instagram menyebabkannya digambarkan sebagai individu bermoral rendah sehingga mengundang kecaman dan sindiran warganet.

Menurut Siti Nordiana pernyataan fitnah lima defendan ketika bersiaran secara langsung dalam Instagram turut menyebabkan beliau digambarkan sebagai individu yang berkira berkaitan isu wang dan makanan sedangkan beliau tidak begitu.

Penyanyi itu bagaimanapun mengakui bahawa sidang media berhubung siaran langsung Instagram (Live IG) yang dibuat lima individu tersebut telah menyebabkan kes itu menjadi semakin viral. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya