SEDAR mahupun tidak, STL telah selesai minggu kelima. Bagaimana prestasi pasukan kesayangan anda? Jawapannya ada pada anda. Buat saya di ruangan ini saya nak kongsikan berkaitan pengacara atau penyampai atau host.
Assalamualaikum dan salam sejahtera, bertemu kembali dalam saingan Emas Anuar STL 2021/22 Liga Premier. Mungkin itu antara ayat kebiasaan yang dilontarkan oleh saya, Alice Harun dan Haida Jafri tiap kali ke udara di saluran Astro Arena.
Anda sebagai penonton mungkin beranggapan setiap bait-bait kata yang keluar dari mulut pengacara adalah mudah dan mengikut skrip. Jawapannya tidak dan tugas sebagai pengacara pun bukannya mudah.
Saya dan Alice memang bekas pemain sepak takraw negara, malah Haida juga masih bermain dan sepak takraw adalah sebahagian dari darah daging kami.
Tetapi apabila menjadi pengacara yang mengendalikan sukan sepak takraw, adalah dua perkara berbeza yang mana menuntut komitmen yang tinggi.
Ada juga yang beranggapan, skrip dan info semuanya akan disediakan oleh pihak produksi sebelum bersiaran secara langsung namun sebenarnya juga tidak.
Sebaik producer Que (arahan) untuk bercakap, maka kami sebagai pengacara perlu bercakap bergilir-bergilir sehinggalah ada arahan seterusnya dari produser tentang hala tuju program.
Jadi, kami perlu membuat persediaan awal dari pelbagai aspek, antaranya info atau maklumat yang sentiasa perlu dikemas kini, persediaan fizikal serta mental kerana ada ketikanya masalah teknikal kemungkinan akan berlaku ketika siaran secara langsung.
Di sini akan menguji kami sebagai pengacara dan perlu bijak serta segera bercakap mengikut situasi serta seiring degan apa yang keluar di kaca televisyen anda di rumah.
Malah, tiga anggota badan yang menjadi sangat penting dan perlu berfungsi serentak dałam satu masa ialah mata, mulut dan telinga.
Peranan mata buat kami sebagai pengacara ialah sentiasa kena melihat lensa kamera utama. Pandangan ke arah kamera seolah-olah lensa adalah kawan kita, kekasih atau erti kata lain, pengacara perlu ‘friendly’ dengan kamera tanpa rasa malu.
Dalam pada mata memandang lensa kamera, mulut pula kena sentiasa petah berkata-kata. Setiap patah perkataan yang keluar dari mulut ia bagaikan mengalirnya air sungai tanpa henti. Kami perlu segera lontarkan secara spontan.
Apabila sibuk mata memandang kamera, mulut berkata-kata, tak lupa telinga kena sentiasa peka terhadap arahan dari produser. Ke mana hala tuju percakapan atau siaran, ia bergantung kepada arahan produser.
Tuan produser akan bagi arahan ringkas, sebagai contoh ‘ selepas ini kita tengok grafik kedudukan pasukan’ dań dengan sepantas kilat, kami perlu segera bercakap dań bercerita mengenai situasi kedudukan pasukan.
Aktif kata, penjelasan ringkas ini sudah cukup menggambarkan bahawa bukannya mudah tugas pengacara sebagai mana kita melihat dań menonton di rumah. Tetapi inilah realiti kami bertiga sebagai pengacara anda. Andai tersalah kata, maaf di pinta. – UTUSAN
Penulis adalah bekas pemain kebangsaan, pengacara STL Astro Arena