Dakwaan sejuk ekstrem akibat Aphelion dinafi

Dakwaan sejuk ekstrem akibat Aphelion dinafi

TANGKAP layar memaparkan hantaran tular mengenai kejadian Aphelion yang diberi pembetulan oleh pakar falak, Shahrin Ahmad. – IHSAN JABATAN MUFTI SELANGOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiada sebarang kesan ketara berlaku ke atas bumi pada 4 Julai ini berikutan keadaan Aphelion atau jarak matahari berada jauh daripada planet ini.

 Perkara tersebut dijelaskan Ahli Jawatankuasa Falak Negeri Selangor, Shahrin Ahmad sebagai mengulas maklumat tular menerusi media sosial berhubung senario alamiah itu.

“Aphelon bukan pun fenomena yang berpanjangan, sebaliknya ia hanyalah momen atau saat kejadian berlaku serta bukanlah macam musim sejuk atau musim panas,” katanya.

Pencerahan pengasas portal astronomi terkenal tempatan Falak Online itu turut dimuat naik Jabatan Mufti Negeri Selangor sebagai merujuk isu tular diperkatakan warganet ketika ini.

Maklumat langsung tidak tepat itu dipercayai dihantar individu tertentu menerusi aplikasi WhatsApp baru-baru ini, dengan mendakwa dunia bakal mengalami cuaca dingin yang ekstrem. Keadaan itu menyebabkan manusia terkesan selesema, batuk, sesak nafas dan lain-lain sambil mesej tersebut menyeru agar kita segera meningkatkan sistem imunisasi badan.

Mengulas lanjut, Shahrin berkata, dakwaan tular itu banyak kesilapan fakta terutama beza jarak bumi ketika Aphelion berbanding Perihelion ialah 3.3 peratus dan bukan 6.6 peratus.

“Perjalanan purata dari bumi ke matahari yang betul ialah 8.3 minit cahaya atau 147,620,000 kilometer dan bukannya didakwa lima minit cahaya atau 90,000,000 kilometer,” tegas beliau.

 Bahkan ketika keadaan Perihelion yang berlaku setiap tahun apabila bumi berada paling dekat dengan matahari pada 4 Januari lalu, jarak direkodkan pun ialah 147,105,052 kilometer. Pakar falak itu malah dalam nada kehairanan mempersoal jika betul suhu dingin pada tarikh tersebut melebihi kebiasaan, bahagian hemisfera utara pula ironi mengalami musim panas.

 Justeru secara sindir, beliau bertanyakah bagaimana maklumat tular itu mendakwa cuaca seluruh dunia bakal sejuk melampau dan daripada sumber data saintifik mana yang dijadikan rujukan. 

Shahrin turut menegur pengguna media sosial yang mungkin teruja berkongsi informasi salah itu apabila cuba mengaitkan situasi Aphelion konon peralihan fasa virus Corona berikutnya.

 “Apa pula kena-mengena wabak Covid-19 ini dengan Aphelion. Tolong bagi maklumat yang betul berdasarkan fakta, bukan auta dan jangan main ‘forward’ (hantar) sahaja,” katanya.

 Beliau memberi contoh antara maklumat tidak jelas seperti waktu dan tarikh yang memang salah dan kiraan jarak, sekali gus memberi markah hanya 1/10 untuk hantaran tular itu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya