Cuma 2,500 kanak-kanak di Langkawi didaftar terima vaksin - Utusan Malaysia

Cuma 2,500 kanak-kanak di Langkawi didaftar terima vaksin

ZULKIFLI Abdullah (kiri) memberikan tepukan kepada Nur Sofiya Masturina Zainorden (duduk, kanan) yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Dewan As-Syifa, Padang Matsirat, Langkawi hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Seramai 2,500 daripada 12,500 kanak-kanak di pulau ini didaftarkan oleh waris yang bersetuju untuk diberikan vaksinasi sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids).

Timbalan Pengerusi PICK Kids Langkawi, Zulkifli Abdullah berkata, berdasarkan jumlah sebut, hanya 20 peratus kanak-kanak berusia di antara 5 hingga 11 tahun yang layak menerima suntikan itu didaftarkan oleh waris masing-masing.

“Saya menyeru kepada waris atau penjaga kanak-kanak di pulau ini datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk menerima vaksinasi kepada anak mereka. Ini adalah langkah untuk meningkatkan daya ketahanan badan kanak-kanak itu daripada dijangkiti wabak Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran PICK Kids Daerah Langkawi di PPV, di Dewan As-Syifa, Padang Matsirat di sini hari ini.

Zulkifli yang juga Ketua Penolong Pegawai Daerah Langkawi berkata, ibu bapa yang ingin memvaksin anak mereka boleh datang terus (walk-in) ke PPV tersebut yang mula beroperasi hari ini sehingga 15 Mei nanti.

Menurutnya, PPV tersebut boleh menampung sehingga 600 penerima vaksin sehari.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd. Shaifol Mazdi Aniff Jaafar, 42, berkata, dia memilih untuk memvaksin anaknya, Muhammad Zharif Naufal, 7, walaupun terdapat banyak khabar angin disebarkan mengenai vaksin di media sosial.

“Saya memilih untuk memvaksin anak saya apabila melihat kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat, sekurang-kurangnya kita dapat melindungi diri mereka. Sekarang saya berasa lebih yakin untuk membenarkan anak saya ke sekolah, atau membawa mereka keluar ke tempat awam apabila diperlukan,” jelasnya.

Bagi Nur Sofiya Masturina Zainorden, 11, yang menerima vaksin tersebut hari ini, dia mengajak rakan-rakan seusianya untuk mengambil vaksin bagi melindungi diri sendiri daripada Covid-19.

“Walaupun pada mulanya saya berasa sedikit takut, tetapi tahu-tahu semua sudah selesai, tak sakit pun kena cucuk,” kata pelajar Sekolah Kebangsaan Langkawi di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya