PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan penamatan arahan hujan berterusan di beberapa tempat di Pantai Timur dan Johor.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, ini berikutan keadaan cuaca di kebanyakan tempat di Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Johor diramal bertambah baik.
“Keadaan cuaca di negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh); Terengganu; Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin); serta Johor (Mersing) dijangka bertambah baik.
“Amaran Hujan Berterusan yang dikeluarkan pada pukul 1 petang semalam untuk kawasan-kawasan berkenaan dengan ini ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Muhammad Helmi, orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Met Malaysia, aplikasi mobil myCuaca dan laman sosial rasmi Met Malaysia.
“Talian hotline Met Malaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” jelasnya. – UTUSAN