PUTRAJAYA: Individu yang dipantau di rumah melalui Pusat Penilaian Covid-19 Maya (VCAC) meningkat mendadak, melibatkan bilangan yang dipantau pada masa ini sebanyak 100,000 orang berbanding 30,000 orang tiga minggu lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, sehubungan itu Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan kapasiti pemantauan kepada 200,000 individu menjelang minggu depan.
Katanya, mengambil kira langkah-langkah yang diambil sepanjang enam bulan lalu dalam memperkukuh VCAC, KKM kini mempunyai keupayaan meningkatkan kapasiti untuk memantau individu yang menjalani isolasi atau perintah pengawasan dan pemantauan di rumah.
“Penubuhan Pasukan Bertindak Pantas Covid-19 Kebangsaan (RRTF) yang diumumkan Menteri Kesihatan pada 7 Februari telahmula meneliti situasi dari segi kapasiti katil Covid-19 dan situasi pemantauan individu di rumah.
“Bagi situasi semasa kapasiti katil Covid-19 adalah mencukupi dan mampu menampung jumlah kes semasa kerana bilangan kes dalam kalangan kategori tiga, empat dan lima adalah kurang daripada satu peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa hari kebelakangan ini, bilangan kes Covid-19 meningkat kepada kadar yang hampir sama pada Ogos dan September tahun lalu, namun situasi hari ini adalah jauh berbeza.
“Pada hari ini, bilangan kes yang dilaporkan telah melonjak kepada 20,939 kes. Pada masa sama, data terkini menunjukkan hanya 1,637 kes dimasukkan ke wad, 158 kes di unit rawatan rapi (ICU) dan kurang daripada 10 kes kematian dilaporkan.
“Sebagai perbandingan, bagi bilangan kes Covid-19 yang dilaporkan ketika trend kes positif menunjukkan peningkatan pada 11 Ogos lalu iaitu 20,780 kes, terdapat sebanyak 2,928 kes dimasukkan ke wad, 1,547 kes di ICU dan 332 kes kematian dilaporkan.
“Vaksinasi tinggi dan kadar pemberian dos penggalak meningkat merupakan faktor-faktor penting menyumbang kepada situasi semasa yang lebih baik. Tambahan pula, pihak KKM telah memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun sejak 3 Februari,” katanya. – UTUSAN