LONDON : Kesabaran ditunjukkan Manchester City membawa kepada kemenangan 2-0 ke atas Brentford, semalam sekali gus melebarkan jurang 12 mata sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).
Sikap ditunjukkan pemain City dipuji oleh pengendali pasukan, Pep Guardiola biarpun mereka berjaya menguasai hampir keseluruhan perlawanan namun berdepan kesukaran menembusi benteng pasukan pelawat.
Keputusan itu merupakan kemenangan ke-10 berturut-turut buat City di Stadium Etihad yang kini mengutip 60 mata dengan aksi liga berbaki 14 perlawanan lagi.
“Cukup sukar mengatur serangan menentang (Brentford) yang agresif dan beri tekanan tinggi. Kami membina serangan dan mereka turun dan bertahan begitu kebelakang sehingga menyukarkan kami memasuki kotak penalti lawan.
“Situasi itu membuat kami terpaksa lebih bersabar dan mengelak daripada melakukan kesilapan dan akhirnya kami mendapat keputusan.
“Saya amat berpuas hati dengan persembahan pasukan. Ia situasi sukar apabila pihak lawan bertahan dengan 10 pemain di dalam kotak penalti mereka.
“Untuk mengumpul 60 mata di peringkat ini adalah mengagumkan dan kami telah melakukan dengan sangat baik setakat ini,” katanya. – AGENSI