LONDON: Antonio Conte menyifatkan pengendali Manchester City Pep Guardiola adalah jurulatih terbaik di dunia.
Pasukan kendaliannya, Tottenham Hotspur akan berdepan cabaran sukar menentang juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, esok (awal pagi Ahad).
Lebih malang, Spurs berkunjung ke Etihad dengan rekod kekalahan tiga kali berturut-turut. Manakala City berada dalam prestasi terbaik apabila melakar kemenangan besar di Liga Juara-Juara. Selain hanya tercicir satu mata dalam 15 perlawanan terakhir mereka dalam liga.
Pengendali dari Itali itu beberapa kali menyuarakan pandangan bahawa pasukannya dengan City memiliki jurang cukup besar.
“Sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami. Tetapi pada masa sama kami mahu cuba bermain dan menggunakan perlawanan ini sebagai langkah untuk peningkatan.
“Kami sedar mereka (City) akan menguasai 70, 75 minit permainan tetapi kami mahu mencuba sesuatu dan menunjukkan yang kami juga mampu bersaing,” kata Conte.
Tottenham salah satu daripada dua pasukan yang pernah menewaskan City dalam saingan liga musim ini pada hari pertama musim ketika Nuno Espirito Santo membimbing pasukan berkenaan.
“Saya rasa kita bercakap tentang jurulatih terbaik di dunia kerana dia (Guardiola) membuktikannya bersama banyak pasukan, dalam banyak situasi.
“Apabila anda melihat pasukan Pep Guardiola, anda dapat melihat falsafah bola sepak dan usaha yang dicurahkan untuk membentuk pasukan itu.
“Bagi saya Manchester City akan memenangi liga musim ini dan pasukan pilihan untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah kerana mereka pasukan yang kuat dalam semua aspek, skuad yang saya lihat tiada kelemahan,” jelasnya.
Kekalahan kepada Chelsea, Southampton dan Wolves meletakkan Spurs di tangga kelapan tujuh mata di bawah kelayakan Liga Juara-Juara dan 27 mata di belakang lawan mereka, City. – AGENSI