KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu menunggu 20 tahun lagi untuk menikmati capaian internet yang lebih baik berbanding sekarang.
Berdasarkan pemerhatian dan pelbagai aduan yang diterima berkaitan capaian internet, ia menjadi satu penderitaan berpanjangan yang tidak mempunyai titik penyelesaian.
Tidak kira daripada aspek perkhidmatan yang lemah, kelajuan internet yang perlahan dan titik buta susulan kedudukan geografi Sabah mahupun perkhidmatan sifar yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan Internet (ISP).
Demikian pandangan Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Ruddy Awah mengenai isu capaian internet yang lemah di Sabah.
Beliau berkata, kebanyakan kawasan di Sabah hanya berupaya memperoleh kelajuan 5Mbps dan ia hanya cukup untuk melayari YouTube dengan video berkualiti rendah.
Maka, tiada guna mendapatkan kelajuan yang lebih tinggi sehingga menggunakan teknologi 5G jika banyak kawasan yang capaian internetnya lemah.
“Ini penderitaan yang dilalui kerana pembangunan teknologi 2G hingga 4G terdahulu berorientasikan keuntungan.
“Kini, rakyat Sabah terpaksa membayar kos yang sama dengan mereka yang tinggal di bandar bagi mendapatkan perkhidmatan internet namun, capaiannya hanya cukup-cukup makan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas itu berkata, berdasarkan laporan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, sebanyak 51 daripada 538 tapak menara baharu yang dirancang telah siap dibina manakala, bagi menaik taraf stesen pemancar 2,041 daripada 3,500 yang disasarkan juga telah siap.
Gentian optik untuk premis-premis tersedia pula, sebanyak 81,268 daripada 251,165 dilaporkan siap dan 138 pemasangan jalur lebar satelit akan dibina di Sabah.
Justeru, beliau merayu kepada kerajaan persekutuan untuk sentiasa meletakkan keselamatan siber sebagai keutamaan dalam memastikan pelaksanaan dan pembinaan teknologi 5G di Sabah berjalan lancar.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggunakan strategi mewujudkan entiti baharu dikenali sebagai Digital Nasional Berhad (DNB) yang akan memiliki sendiri lesen spektrum dan membina infrastruktur rangkaian fizikal.
Melalui DNB, ia akan bertindak sebagai badan penyelaras untuk rangkaian nasional tunggal. Berdasarkan unjuran kerajaan, DNB boleh membina satu rangkaian nasional 5G dengan kos bernilai RM16.5 bilion berbanding RM35 bilion jika dibina menerusi syarikat telekomunikasi.
Sekiranya syarikat telekomunkasi tidak boleh membida ruang spektrum 5G maka, kerajaan memaksa pengendali untuk beralih daripada frekuensi spektrum lama yang dimiliki seperti 3G dan 4G dan menambah baik status perkhidmatan sedia ada.
“Situasi ini akan memberi kemenangan kepada pengguna iaitu rakyat. Pada dasarnya, pembinaan satu rangkaian borong nasional oleh syarikat milik kerajaan akan memberi kelebihan kepada rakyat berbanding dengan pembinaan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi,” katanya.
Walau bagaimanapun, SKMM perlu memastikan dan mengawal syarikat telekomunikasi agar sentiasa mengambil kira aspek kualiti perkhidmatan dan menawarkan harga yang munasabah kepada pengguna.- UTUSAN ONLINE