MELAKA: Suasana di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini kembali sesak selepas Melaka merekodkan peningkatan kes sejak minggu lalu.
Tinjauan mendapati, hanya CAC di daerah Melaka Tengah yang mulai sesak.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kesemua yang hadir di CAC berkenaan telah disahkan positif dan perlu melalui ujian penilaian bagi penempatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
“Memang hari ini jumlah mereka yang datang ke CAC MITC lebih ramai kerana kes penularan kes Covid-19 tertumpu di kawasan itu.
“Mereka hadir bagi menjalani ujian penilaian penempatan sama ada perlu dirawat di hospital, PKRC (pusat kuarantin dan rawatan Covid-19) atau sekadar kuarantin kendiri di rumah,” katanya kepada pemberita.
Semalam, Melaka merekodkan sebanyak 496 kes dengan pecahan 262 dalam daerah Melaka Tengah, Jasin (89) dan Alor Gajah (145).
Tambah Muhamad Akmal, keadaan itu juga mungkin disebabkan lokasi CAC tersebut yang mudah diakses dan menggunakan kaedah pandu lalu.
“Selain CAC MITC, ada juga CAC yang dibuka di klinik kesihatan, namun pesakit mungkin lebih selesa di situ.
“Antara klinik kesihatan yang ada ialah CAC Klinik Kesihatan Ayer Molek, CAC Klinik Kesihatan Peringgit, CAC Klinik Kesihatan Seri Tanjung, CAC Klinik Kesihatan Tengkera, CAC Klinik Kesihatan Batu Berendam dan CAC Klinik Kesihatan Ayer Keroh CAC,” katanya.
Katanya, dua lagi CAC adalah di Klinik Desa Kesang Tua, Jasin dan Klinik Desa Melekek, Alor Gajah. – UTUSAN