KUALA LUMPUR: Saingan Premier pada kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) kini beralih angin ke Pantai Timur apabila Kompleks Sukan Panji di Kota Bharu, Kelantan menjadi venue pertandingan itu selama tiga hari pada hujung minggu ini dan perubahan tersebut bakal memberi cabaran kepada pasukan yang lambat menyesuaikan diri dengan gelanggang.
Mengulas mengenai isu itu, tekong Putrajaya Cyborg, Muhammad Farid Abdul Aziz ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, semuanya bergantung kepada pemain, sama ada mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat atau sebaliknya.
“Cabaran biasanya akan hadir jika bertemu dengan pasukan tuan rumah, sebagai contoh menentang pasukan Kelantan Warriors, kami bukan sekadar perlu berdepan dengan mereka tetapi juga penyokong tuan rumah.
“Faktor kedua ialah keadaan stadium itu sendiri, ada sesetengah pasukan tidak begitu gemar beraksi di sebuah stadium yang besar seperti venue di Pulau Pinang nanti iaitu Spice Arena.
“Venue yang besar menyukarkan kami mendengar kelajuan bola sama ada ketika servis atau serangan dibuat, suasananya begitu sunyi sehingga menyukarkan pemain dalam gelanggang mengagak kelajuan bola itu datang,” katanya.
Farid memberitahu, bagi pasukan yang menggemari Stadium Titiwangsa pula, Stadium Indera Mulia di Ipoh, Perak agak serupa dengan gelanggang di ibu negara, jadi mereka mungkin selesa bermain di venue tersebut.
Jelasnya, kedengaran seperti remeh apabila bercakap tentang gelanggang pertandingan, tetapi ia sedikit sebanyak mampu mengganggu persembahan sesebuah pasukan.
“Pada ketika STL sudah masuk separuh kedua musim, memburu kemenangan itu menjadi amat penting dan jika sesebuah venue itu menjadi badi kepada sesebuah pasukan memang ia memberi masalah,” ujarnya.
Berkongsi pula pengalamannya sendiri ketika mewakili Kelantan Warriors, pemain berusia 29 tahun itu berkata, skuad Pantai Timur itu memiliki penyokong tegar dan kehadiran mereka memang mampu mengganggu fokus pasukan lawan.
Bagaimanapun, Farid menjelaskan, sebagai pemain profesional, alasan tertekan kerana kehadiran penyokong tuan rumah tidak boleh dijadikan sebab tidak mampu bermain baik dalam gelanggang kerana ia adalah sebahagian daripada asam garam sebagai atlet. – UTUSAN