PETALING JAYA: Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh menyifatkan cadangan pembukaan sempadan negara secara sepenuhnya pada 1 Mac ini akan memulihkan industri pelancongan perubatan di negara ini.
Beliau berkata, ia membolehkan pelancong perubatan kembali ke Malaysia untuk menjalani rawatan di hospital yang terhenti sejak awal 2020, memandangkan persatuannya mempunyai 151 hospital sebagai ahli di seluruh negara dan majoriti daripada hospital berkenaan merawat pelancong perubatan, terutama dari negara jiran.
Malah, beliau bersetuju dengan saranan Majlis Pemulihan Negara (MPN) supaya sempadan negara dibuka tanpa keperluan kuarantin wajib.
“Langkah itu akan membantu memulihkan sektor pelancongan perubatan yang telah menjana sebanyak RM1.7 bilion kepada negara pada 2019,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan hospital swasta akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan mengenai saringan pelancong perubatan sebelum menerima pelancong perubatan sebagai pesakit.
“Kami hanya menerima pelancong perubatan yang divaksin sepenuhnya dengan dos penggalak supaya kurang risiko bagi mereka mengalami sakit teruk sekiranya terdapat jangkitan COVID-19 semasa menjalani rawatan dan seterusnya melindungi penyedia penjagaan kesihatan tempatan kita,” katanya.
Semalam, Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kepada kerajaan supaya sempadan negara dibuka seawal 1 Mac ini.
Beliau juga mengesyorkan supaya pembukaan dibuat tanpa keperluan kuarantin wajib dan hanya perlu melakukan ujian saringan sebelum keluar dan masuk negara.
Dalam pada itu, Kuljit berkata, pihak hospital swasta bersedia menerima pesakit dari hospital awam sekiranya berlaku lonjakan kes pesakit Omicron di fasiliti kerajaan.
Katanya, semasa kemuncak kes Covid-19 varian Delta tahun lepas, 113 hospital swasta menerima pesakit dari 49 hospital Kementerian Kesihatan.
“Kami yakin untuk meneruskan sokongan kepada kerajaan untuk meringankan beban seperti yang disarankan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya pada 7 Feb lalu.
Hospital swasta telah dimasukkan dalam Pasukan Petugas Bertindak Pantas Covid-19 (RRTF) Kebangsaan untuk memudahkan proses ini,” katanya.
Justeru, Kuljit menggesa orang ramai agar supaya mendapatkan dos penggalak.
“Ia terbukti di seluruh dunia, vaksinasi lengkap dengan dos penggalak telah mengurangkan kesan lebih teruk wabak dan membantu menggalakkan pemulihan ekonomi dengan pembukaan sempadan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE