Boleh cakap apa sahaja di warung, tapi mana bukti - Bekas ADUN Tiram - Utusan Malaysia

Boleh cakap apa sahaja di warung, tapi mana bukti – Bekas ADUN Tiram

S. GOPALAKRISHNAN dan SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, S. Gopalakrishnan menafikan dakwaan dibuat Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa beliau tidak mengambil berat kebajikan masyarakat India di kawasan itu.

Gopalakrishnan mempersoal bukti yang dimiliki Ahli Parlimen Muar itu untuk membuat dakwaan sedemikian yang disifatkannya mencalar imej dan kredibilitinya selaku wakil rakyat di kawasan itu sejak Mei 2018.

“Semua orang boleh bercakap apa-apa sahaja, lebih-lebih lagi apabila duduk berbual di warung, tetapi apakah bukti untuk dia berkata-kata seperti itu di tempat terbuka. Saya akan tunggu respon balas daripada kepemimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) berhubung kenyataan Presiden Muda berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Syed Saddiq memuat naik kenyataan seolah-olah memperlekeh perkhidmatan ditawarkan Gopalakrishnan selaku wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram khususnya kepada masyarakat India.

“Komuniti India di Ulu Tiram mengadu, pimpinan di sini tidak ambil endah kebajikan rakyat. Dipilih oleh rakyat, dapat peruntukan tapi amanah rakyat dibuang. Bantuan yang sepatutnya rakyat dapat tidak sampai, tak bertanggungjawab,” tulisnya dalam Facebook miliknya.

Untuk rekod, PH dan Muda kini dimaklumkan sedang mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dalam PRN Johor akan datang termasuk rundingan pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Bagaimanapun, Syed Saddiq dalam satu kenyataan balas tidak lama selepas itu mengakui terkhilaf sekali gus membuat permohonan maaf kepada PKR dan Gopalakrishnan.

“Muda tidak sempurna, begitu juga saya. Saya akui hantaran lawatan saya ke Ulu Tiram telah merendahkan tugas dan tanggungjawab yang dibuat oleh rakan ADUN PKR.

“Sesi melawat dan bertemu rakyat di Ulu Tiram adalah satu proses untuk saya dan Muda belajar lebih banyak soal menjaga rakyat. Atas semangat kebersamaan bersama rakan PKR, saya memohon maaf atas kekhilafan yang dibuat,” katanya.

Syed Saddiq turut meminta semua pihak untuk sentiasa memberi teguran kepada beliau sekiranya perlu kerana banyak lagi tugas dan tanggungjawab yang masih perlu dilunaskan.

“Di Parlimen Muar, saya juga tidak sempurna. Banyak lagi tugas dan tanggungjawab yang perlu saya lunaskan. Teruskan menegur kerja dan ucapan saya. Yang baik itu datang dari yang Maha Esa. Yang khilaf itu saya,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya